Putri Ariani penyanyi yang serba- boleh

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Megatix Malaysia/Koleksi Syed Wafa

America’s Got Talent (AGT) yang disertainya pada tahun lepas nampaknya telah membuka peluang lebih luas untuk penyanyi kelahiran Indonesia, Putri Ariani,18, untuk terus menembusi pasaran antarabangsa. Kekurangan dirinya nampaknya tidak menghalang Putri Ariani untuk terus melangkah lebih jauh.

Terbaru Putri Ariani ke Malaysia bersama pemuzik terkenal antarabangsa, Alan Walker untuk majlis sidang akhbar bagi mempromosikan konsert ‘Walker World Asia Tour Part One, Alan Walker’ pada 22 Jun ini di Sunway Lagoon, Selangor.

Putri Ariani ketika menjadi juara Indonesia Got Talent bagi kategori kanak-kanak.

Putri Ariani dan Alan Walker berkolaborasi dalam lagu “Who I Am” yang menemui peminat Indonesia awal Januari lalu. Setelah dipasarkan, Lagu “Who I Am” menjadi trending di YouTube Indonesia dengan menduduki tempat kedua dalam carta.

Walaupun namanya gah di mata dunia namun rupanya Putri Ariani masih menyimpan hasrat dan impian untuk berduet bersama idola kesayangannya, Datuk Siti Nurhaliza.

Mendapat ‘standing ovation’ daripada keempat-empat juri peringkat akhir America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, peserta paling mencuri perhatian dunia dan menjadikan Putri Ariani dikenali di peringkat angtarabangsa

“Artis Malaysia yang saya minati ialah Datuk Siti Nurhaliza. Suaranya begitu `magic’, menakjubkan, sedap dan merdu. Sejak kecil lagi mama saya sering putarkan lagu-lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza untuk kami dengar. Datuk Siti…I love u so much dan harap kita dapat bekerjasama nanti,’’ begitulah luahan hati, Putri Ariani yang ditemui selepas majlis sidang akhbar tersebut baru-baru ini.

Walaupun tidak dapat melihat tetamu yang hadir pada majlis tersebut, Putri Ariani cuba membuatkan keadaan menjadi ceria dengan membuat lawak mengenai Alan Walker yang sudah pandai berbahasa Melayu iaitu ‘betul’ betul’ ‘betul’. Dari situ terserlah sikap keanak-anakannya seiring dengan usianya yang masih muda.

Putri Ariani bersama juri America’s Got Talent, Simon Cowell yang begitu kagum dengan bakatnya.

Walaupun tidak dapat melihat dunia dan peminatnya namun Putri Ariani bertuah kerana sering ditemani bapanya, Ismawan Kurnianto kemana saja sebagai pengurus dan pegawal peribadi sekaligus. Kini segala urusannya diuruskan bapanya yang merupakan `mata kedua’ buat Putri Ariani.

Tambah Putri Ariani lagi,“AGT telah mengubah hidup saya dengan cara yang begitu indah dan hebat. AGT juga telah menyatukan saya dengan orang-orang disekeliling saya. Kini masyarakat telah mula melihat dan menilai bakat saya sebagai seorang pemuzik dan mereka menghargai saya kerana muzik saya, bukan kerana penampilan saya.”

Gadis istimewa…Putri Ariani.

Walaupun tidak dapat melihat keindahan dunia, namun Putri Ariani tetap mengharapkan kedamaian di dunia ini terus berkekalan, semua orang dapat bersatu dan dunia terus aman damai.

Putri Ariani atau nama sebenarnya Ariani Nisma Putri mula menyanyi ketika berusia dua tahun dan dia juga suka meniru setiap bunyi yang didengarinya. Beliau mula melakukan persembahan nyanyian di atas pentas sejak berusia tujuh tahun. Putri Ariani bertuah kerana minatnya terhadap muzik di sokong ibu bapanya dan telah mendaftarkan dia untuk belajar di sekolah muzik.

Impian Putri Ariani yang belum kesampaian untuk berduet bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Putri Ariani menjadi kebanggaan rakyat Indonesia apabila mengejutkan juri dan penonton AGT selepas berjaya mendapat Golden Buzzer daripada juri, Simon Cowell, ketika peringkat saringan AGT pada Jun tahun lalu.

Walaupun Putri Ariani hanya berjaya meraih tempat keempat dalam America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, namun beliau turut mendapat ‘standing ovation’ daripada keempat-empat juri peringkat akhir.

David Foster juga turut mengagumi bakat Putri Ariani.

Lontaran suara Putri Ariani yang begitu menakjubkan membuatkan Simon Cowell tidak henti-henti memuji bakat luar biasanya. Bagi Simon tidak ada yang mampu menafikan fakta bawa Putri Ariani adalah peserta luar biasa dan juga manusia luar biasa.

Selepas AGT namanya turut meniti daripada bibir ke bibir berikutan kehebatan vokalnya yang mantap ketika mendendangkan lagu. Malah begitu ramai komposer luar yang turut memaparkan video Putri Ariani dan bercakap mengenai kehebatan penyanyi cilik ini. Rata-rata semua kagum dengan suara dan teknik nyanyiannya.

Artis kebanggaan Indonesia, Putri Ariani bersama mantan Presiden Indonesia, Pak Jokowi.
Mantan Presiden Indonesia, Pak Jokowi terpukau dengan persembahan Putri Ariani

Selepas kemenangannya di Indonesia Got Talent, Putri Ariani terus mengeluarkan album studio dan pelbagai single. Malah dia juga berpeluang beraksi pada majlis perasmian Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.

Putri Ariani merupakan anak sulong dari tiga beradik kepada pasangan Ismawan Kurnianto dan Reni Alfianty. Adik perempuannya bernama Devina Elysia dan Vania Larissa.

Putri Ariani bersama Alan Walker yang bakal menjayakan konsert 22 Jun ini di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Sebelum menempa nama seperti sekarang ini, Putri Ariani pernah menerima Anugerah Baiduri sebagai penyanyi cilik berprestasi peringkat kebangsaan Indonesia. Pada tahun yang sama, Putri Ariani juga merangkul dua kali gelaran juara bagi peringkat kebangsaan literasi FLS2N, dan menjadi finalis dalam The Voice Kids Indonesia (musim kedua).

Selain kehebatannya bermain seruling, Putri Ariani juga berkebolehan bermain piano dan mencipta lagu. Beliau juga kerap berkongsi karya-karyanya di saluran YouTube peribadinya dan muncul dengan album pertama yang bertajuk Melihat Dengan Hati pada tahun 2020.

Putri Ariani (dua dari kiri) menerima bunga daripada Pengerusi Bukan Eksekutif Megatix Malaysia. Datuk Shariffah Maznee sambil diperhatikan Alan Walker dan Ridzuan Mohammad, Pengarah Megatix Malaysia
Previous articleDwen tak leka dengan dunia glamor, umum bersara dari dunia seni!
Next articlePes Sambal Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Sambal Ikan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here