Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Koleksi Syed Wafa
Lebih 37 tahun dalam indusri muzik namun Datuk Hattan masih dapat mengekalkan popularitinya sehingga hari ini. Melihat pada penampilan dan mukanya yang nampak bengis mungkin sesetengah orang menganggap Datuk Hattan seorang penyanyi yang sombong dan garang. Sedangkan hakikatnya Hattan adalah seorang yang baik hati, pemurah orangnya dan laser mulutnya pula bertempat.
Hattan atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Shahabudin seorang penyanyi, pelakon dan komposer yang cukup versatile. Penampilannya yang bersahaja dan gayanya yang nampak garang membuatkan ramai yang takut dengan Hattan. Hattan juga cukup bijak mencari ruang untuk terus kekal relevan dengan industri muzik hari ini.
Karakter vokal yang dimiliki beliau juga unik dan menjadikan Hattan salah seorang penyanyi rock lagenda tanahair. Maka tidak hairanlah Hattan kerap diberi peluang merakamkan semula lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lain namun dengan cara, stail dan identitinya tersendiri.
“Saya memang minat nak menyanyi sampai bila-bila. Tak ada istilah saya nak `bersara’ dan memadailah saya buat persembahan yang sesuai dengan usia… saya kini sudah menjangkau 60 tahun.
“Untuk kekal seperti hari ini, kita kena jadi diri sendiri, keluarkan produk baru dan jangan takut untuk bergandingan buat album dengan artis-artis baru kerana inilah caranya kita tumpang dia dan dia pun tumpang kita. Lagi satu kalau terbitkan album jangan buat album syok sendiri, kita kena peka dengan perkembangan semasa dan permintaan muzik terkini,” kata Hattan sambil ketawa.
Popularitinya ini juga yang membuatkan Hattan sering dilamar untuk mengadakan konsert. Terbaru konsertnya bergandingan dengan Datuk M.Nasir iaitu Konsert Sifu & Aku di Sabah. Kehebatan stamina, vokal dan kelincahan anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini beraksi memang tiada bandingannya.
Hattan kini bahagia dengan isterinya, Datin Arianie Mohd Abidin. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Adam Eiman (lahir 1998) dan merupakan pelajar lulusan Taylor’s University.
Nampaknya Adam juga kini mengikuti jejak langkah bapanya, aktif dalam bidang seni. Walaupun bukan sebagai penyanyi namun bakatnya cukup menyerlah sebagai seorang komposer dan penulis lirik yang pernah memenangi trofi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) menerusi anugerah Album Terbaik album penyanyi Yonnyboii berjudul Deluxe Version.
Sebelum muncul sebagai penyanyi solo, Hattan pernah menganggotai Kumpulan FRU. Album pertama FRU, Kelahiran pada tahun 1988 sebelum Hattan mengambil keputusan muncul solo dengan lagu Memburu Rindu ciptaan M.Nasir yang telah berjaya menaikkan nama Hattan selaku penyanyi solo yang popular di awal tahun 1991.
Karismanya sebagai penyanyi telah melayakkan Hattan menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada 2012 yang membawa gelaran Datuk.
Manakala album solo yang pernah Hattan hasilkan adalah Nostalgia pada tahun 1987, Hattan (1991), Antem (1992), Ana Permata Timur (1993), Satu Malaya Dah Tahu (1996), Biso Bonar (1998), Aku dan Mentor (2000), Palestine : Jangan Menangis (2002), Inderawala (2010).
Antara lagu-lagu Hattan yang masih menjadi siulan sehingga kini ialah Memburu Rindu, Mahligai Syahdu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Rindu Bertandang Lagi, Rona-rona Cinta, Gadis Jolobu dan Biso Bonar.
Sebagai pelakon, Hattan juga pernah membintangi filem Selubung pada tahun 1992, 7 Perhentian dan Lembing Awang Pulang ke Dayang. Manakala dalam filem Hong Kong, Who Am I sebagai pelakon tambahan, begitu juga dalam filem Buli, Rock Bro!.
Sepanjang penglibatannya, Hattan juga pernah dilantik sebagai pengkritik tetap Akademi Fantasia 2007 dan kemudiannya sebagai pengetua Akademi Fantasia 2014.
Hattan sedih kehilangan adik pada lima Syawal Tika orang ramai masih lagi dalam mood Hari Raya Aidilfitri namun ini tidak pada Hattan yang masih terasa akan kehilangan adiknya yang tercinta, Mohd Hatta Shahabudin, 46, yang menghembuskan nafas terakhir secara mengejut di kediaman keluarga mereka di Seri Menanti, Negeri Sembilan, pada Syawal kelima.
Kata Hattan, pemergian Hatta, anak keenam dari tujuh beradik itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat dirinya, malah, menjadi kenangan Hari Raya Aidilfitri yang tidak dilupakan sampai bila-bila.
“Bulan puasa tahun lepas, arwah yang tanam bunga di pusara arwah ibu, siapa sangka tahun ini arwah dikebumikan bersebelahan kubur ibu pula. Adik saya memang menghidap masalah jantung dan arwah sepatutnya menjalani pembedahan pintasan jantung, Jun ini. Tak sangka, arwah rebah kira-kira jam 3.30 pagi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.” ujar Hattan lagi.
Hattan mengaku rasa tidak ‘sedap hati’ selepas pulang ke rumah di Kuala Lumpur pada raya ketiga, Jumaat
“Selepas arwah meninggal dunia, barulah saya sedar, rupanya tanda-tanda arwah hendak pergi. Saya balik kampung pada Sabtu, iaitu sebelum Syawal dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada Syawal ketiga iaitu, Jumaat.
“Hari Sabtu, saya dah rasa tak sedap hati, macam ada sesuatu yang tidak kena. Apabila dapat panggilan telefon daripada salah seorang adik-beradik pada jam 3.30 pagi Ahad, saya seperti dapat agak ada perkara yang tidak kena. Betullah telahan saya apabila dimaklumkan Hatta tiba-tiba rebah, muntah dan tidak sedarkan diri,” katanya yang turut bersedih dengan permintaan anak saudaranya, 17 tahun meminta agar Hattan tidak mengabaikannya.
Kami di Ladybosz juga turut merakamkan salam takziah buat Hattan sekeluarga.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.