Oleh: Nury Kadir
Selalu juga kita dengar ustaz dan ustazah menyebut kelebihan Al-Quran yang memberi syafaat kepada pembacanya. Al-Quran akan datang dalam bentuk seorang lelaki untuk memberi syafaat kepada sesiapa yang sering mendampinginya. Sering juga kita dengar Al-Quran akan datang pada hari kiamat dalam bentuk awan, cahaya matahari dan burung berbulu terang yang mengelilingi pembacanya.
Malah bagi yang sering mengamalkan surah al-Mulk salah satu surah dalam Al-Quran sebelum tidur setiap malam akan mendapat syafaat daripadanya. Surah al-Mulk dapat menegah dan menyelamatkan pembacanya dari azab kubur. Persoalannya adakah Al-Quran itu makhluk yang boleh berbentuk seperti lelaki, burung, awan dan cahaya matahari?
Semua penjelasan yang akan diberikan di sini adalah himpunan daripada beberapa artikel di dalam www.muftiwp.gov.my. Sebelum itu mari kita mulakan dengan beberapa hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang syafaat kepada pembacanya.
Hadis daripada Abu Umamah, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,“Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” (Riwayat Muslim).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakan ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat Al-Tirmizi).
Sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda, “Al-Quran adalah hidangan Allah SWT. Oleh itu hadaplah hidangan Allah itu sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya, dimana setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif sepuluh dan laam sepuluh dan miim sepuluh.” (Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak dan Fadhail Al-Quran oleh Ibn Kathir).
Malah lebih daripada itu, Al-Quran adalah kitab petunjuk yang menjadi pedoman bagi manusia sehinggalah hari kiamat. Sebagaimana Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengungkapkan kata-katanya, “Al-Quran merupakan minhaj atau jalan serta cara bagi kehidupan manusia. Al-Quran sebagai dustur kepada sebarang hukum. Al-Quran sebagai dustur kepada dakwah.”
Manakala Al-Syahid Hasan al-Banna berkata, “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah sumber yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.”
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat dua, maksudnya: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
Sheikh Mustafa Al-Maraghi dalam tafsir Al-Maraghi, menyebut bahawa Al-Quran mengandungi hidayah bagi mereka yang mencari kebenaran dan petunjuk. Ianya membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan di akhirat. Ini bermakna ianya bukan sekadar wahyu akan tetapi tujuan ianya diturunkan adalah sebagai petunjuk untuk manusia menjalani kehidupan di dunia mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh Allah sehingga akhirnya nanti mendapat kebahagiaan di akhirat.
Berbalik pada persoalan yang dikemukakan di awal artikel tapi sebelum itu kita lihat dahulu hadis mengenai syafaat al-Quran yang datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan cahaya matahari. Hadis tersebut diriwayatkan Imam Ahmad di dalam Musnadnya, Ibnu Majah (Sunannya), juga dinukilkan oleh Al-Tabarani (Al-Mu’jam Al-Awsat).
Lafaz hadis tersebut ialah :
يَجِيءُ الْقُرْآنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ , فَيَقُولُ : أَنَا الَّذِي أَسْهَرْتُ لَيْلَكَ ، وَأَظْمَأْتُ نَهَارَكَ
Maksudnya: “Al-Quran datang pada hari kiamat seperti seorang lelaki yang kekuningan tubuhnya lalu dia berkata : Akulah yang menyebabkan engkau bangun malam dan menyebabkan engkau dahaga di siang harimu.”
Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menghukumkan sanad hadis ini sebagai sanad yang hasan. Secara ringkasnya, hadis tersebut adalah hadis yang hasan.
Selain itu, banyak hadis-hadis lain yang menceritakan pada hari kiamat Al-Quran datang dalam pelbagai bentuk. Di antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat seakan-akan awan, cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu, terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.” (Riwayat Muslim).
Hadis lain juga menyebut, “ Al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak. Lalu ia berkata : Wahai Tuhan pakaikanlah (pakaian) kepadanya. Maka orang tersebut dipakaikan mahkota kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata lagi : Wahai Tuhan, tambahkanlah. Maka orang tersebut dipakaikan dengan pakaian kemuliaan. Kemudian Al-Quran berkata : Wahai Tuhan redhalah terhadapnya. Maka Allah pun redha kepada orang tersebut. Disebut kepadanya : Bacalah Al-Quran dan naiklah. Maka ditambahkan bagi setiap ayat satu kebaikan.” (Riwayat Al-Tirmizi).
Walaupun banyak hadis yang sama dengan hadis tersebut namun adakah itu bermakna Al-Quran itu makhluk? Sudah tentulah tidak. Para ulama cuba menghuraikan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW.
Imam Al-Nawawi menyatakan, “Yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah pahala dari bacaan Al-Quran datang dalam bentuk awan dan sebagainya.” (Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim).
Manakala Imam Abdul Rauf Al-Munawi pula menjelaskan bahawa yang datang seperti mana yang disebutkan di dalam hadis ialah pahala yang layak diganjarkan kepada orang yang membaca dan beramal dengannya. (Faidh Al-Qadir Fi Syarh Al-Jami’ Al-Saghir).
Berdasarkan pendapat tersebut maka jelaslah bahawa apa yang dimaksudkan Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan hari akhirat. Inilah yang cuba disampaikan oleh Nabi SAW.
Sebelum mengakhiri artikel ini, marilah kita sama-sama jinakkan hati untuk melazimkan diri membaca Al-Quran setiap hari. Mulakan dengan sehari satu muka surat, lama-lama khatam satu Al-Quran. Selain itu, jangan pernah tinggalkan surah al-Mulk sebelum tidur setiap malam. Berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya surah dalam Al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.” (Riwayat Ibn Majah)
Daripada Ibn Abbas, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi SAW menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.
Maksudnya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.” (Riwayat al-Tirmizi).
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Maksud al-mani’ah (المانعة) adalah menegah dan menyelamatkan daripda azab kubur atau sebarang maksiat yang mewajibkan hukuman azab kubur. Sedangkan yang menyelamatkan pula boleh jadi sebagai penguat kepada ucapan mani’ah (المانعة) atau ia juga sebagai menafsirkan. Dengan sebab itu ucapan selepas itu Rasulullah SAW menyebut sebagai penyelamat daripada azab kubur.
Kita tidak tahu apa yang ada di dalam kubur dan tidak terbayang bagaimana sejuk, gelap dan saat kita keseorangan di dalamnya. Berada di atas bumi dalam keadaan gelap gelita, sejuk dan keseorangan pun sudah cukup menyeramkan, inikan pula terbaring tujuh kaki di dalam bumi. Jadi, jangan tinggalkan surah Al-Mulk yang hanya ada 30 ayat sahaja.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.