Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA
APABILA sebut nama Seniwati Sharifah Hanim tidak boleh tidak pasti akan membuatkan anda tersenyum apabila teringat akan lakonannya dalam filem “Masam-Masam Manis” yang diterbitkan pada tahun 1965.
Betapa tidak lakonannya sebagai Norkiah Hanum yang pekat dengan loghat utara sering menjadi bahan usikan Cikgu Shaari Suleiman, penyewa bilik sebelah setiap kali mereka bergaduh.
Sikap tidak boleh bertolak ansur antara jiran bersebelahan bilik itu membuatkan perjalanan cerita ini tidak membosankan.
Sebaliknya para penonton sentiasa ternanti-nanti babak demi babak dan apa yang akan berlaku apabila si dara dan si teruna tidak berkerja dan memerap di bilik.
Disebabkan setiap kali bergaduh, ia telah menimbulkan perasaan benci yang menebal di hati mereka berdua.
Tetapi orang tua-tua pernah berpesan kalau kita benci seseorang janganlah keterlaluan kerana siapa tahu akhirnya jatuh cinta.
Begitulah yang terjadi antara Norkiah Hanum dan Cikgu Shaari kerana tidak pernah mengenali antara satu dengan lain sekadar jiran yang sentiasa bergaduh di sebalik dinding papan akhirnya pecah rahsia bahawa mereka adalah pasangan kekasih!
Akhirnya permusuhan mereka menemui titik noktah dan berakhir dengan perkahwinan apabila satu hari ketika bergaduh identiti mereka terbongkar.
Sayangnya perkahwinan mereka diduga apabila Norkiah Hanum merahsiakan pekerjaan sebenarnya sekadar memberitahu tugasnya sebagai Cikgu kelas malam akhirnya terbongkar apabila Cikgu Shaari terkejut apabila dibawa menyaksikan penyanyi berbakat di sebuah kelabmalam adalah isterinya!
Bagaimanapun setelah peristiwa itu akhirnya telah mengeratkan kasih sayang mereka. Perkahwinan bahagia mereka yang mencecah lima tahun ketika itu telah dikurniakan lima pasang anak kembar!
Walaupun itu adalah filem pertama lakonan Almarhum Seniwati Sharifah Hanim tetapi tuah seseorang tidak ada siapa yang tahu dan kerana ‘Norkiah Hanum’ ia telah meletakkan beliau sebagai salah seorang seniwati terkenal ketika itu.
Itulah Seniwati Sharifah Hanim binti Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail. Bondanya bernama Sharifah Amina Syed Abbas Al-Sagoff. Beliau diputerikan di Bandar Diraja Arau, Perlis pada tahun 1935.
Seniwati Sharifah Hanim mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Halim sehingga Senior Cambridge. Beliau pernah bertugas sebagai juruhebah sambilan di Radio Malaya dan sebagai operator di Bank Negara Malaysia.
Sharifah Hanim pernah dimahkotakan sebagai Ratu UMNO pada tahun 1956. Beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1957 dengan Jazamudin Baharuddin yang merupakan seorang penulis dengan nama penanya, Adi Muara.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dengan dua orang anak iaitu Sulasteri dan Siti Amina.
Suami beliau dikatakan telah memperkenalkan Sharifah Hanim kepada dunia perfileman.
Adalah difahamkan sebelum memulakan penggambaran filem “Masam-Masak Manis,” P. Ramlee sendiri telah pergi mendapatkan kebenaran daripada Istana Perlis. Apabila mendapat kebenaran barulah Sharifah Hanim memulakan penggambaran filem berkenaan.
Jodoh Sharifah Hanim dan suaminya tidak panjang. Mereka bercerai pada tahun 1974.
Perjalanan seni Sharifah Hanim sebagai pelakon agak terhad kerana selepas bercerai beliau menumpukan perhatian kepada anak-anak.
Sepanjang 10 tahun menceburi bidang lakonan,Sharifah Hanim hanya membintangi 12 filem antaranya “Gadis Langkawi”(1966), “Bukan Salah Ibu Mengandong”(1969), “Asmara Kirana” dan “Pedang Sakti”(1971),”Satu Penentuan” dan “Penyamun Si Bongkok”(1973) dengan filem terakhirnya ”Rahsia Hatiku”(1975).
Panggung RTM “Membelah Awan” arahan Allahyarham Roslee Jalil yang diterbitkan pada tahun 1977 adalah kemunculan pertama dan terakhir Sharifah Hanim dalam bidang lakonan.
Selepas Studio Merdeka tutup, beliau berhenti berlakon dan menceburi bidang perniagaan.
Sharifah Hanim mangkat pada usia 69 tahun kerana kencing manis dan darah tinggi di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 5.30 petang 1 Syawal 1424 Hijrah bersamaan 25 Disember 2003.
Jenazah Almarhum telah dimakamkan pada pukul 10.30 pagi 2 Syawal 1424 di Makam Diraja Lama, Arau, Perlis.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.