Oleh Nafsiah Jani
Foto Kamarul Bahrin Ismail

PADA usianya mencecah 71 tahun, Datuk Ramli Sarip masih bertenaga dan pandai memanaskan pentas dengan persembahannya yang cukup ‘cool’. Dengan lontaran vokalnya yang mantap menyebabkan nama Papa Rock ini tetap menjadi siulan dan sanjungan para peminatnya tidak kira yang baru ataupun lama.

Penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik, Ramli Sarip yang dulunya bersama Kumpulan Sweet Charity sebelum bergerak solo, menyifatkan industri hiburan hari ini cukup mencabar bila diajukan persoalan tentang pelapisnya.

“Semua orang boleh menyanyi…tetapi berapa lama dan berapa ramai itu tidak pasti. Bagaimanapun untuk terus berkarya dan kekal sebagai penyanyi yang hebat seseorang itu harus versatile. Berbakat mencipta lagu dan membuat rakaman album sepanjang masa adalah bonus untuk penyanyi tersebut bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

Kenangan…Ramli Sarip (paling kanan) bersama anggota asal Sweet Charity sejak 55 tahun yang lalu.

“Industri hiburan hari ini amat mencabar. Cepat seseorang itu naik tetapi sukar untuk bertahan lama. Pada saya, tidak mustahil untuk seseorang itu popular dengan cepat, apabila mereka diviralkan dan orang menyukai suara dan lagunya walaupun dinyanyikan secara cover version.

“Tetapi bila turun ke padang…kita akan berpijak di bumi nyata dan itulah yang saya pegang hingga ke hari ini,” kata Ramli Sarip sambil menzahirkan kesyukuran diatas anugerah Allah SWT kerana kejayaannya seperti hari ini.

Ditanya tentang dirinya yang masih bertahan berbanding penyanyi-penyanyi lain yang seangkatan dengannya, kata Ramli Sarip lagi, mungkin ini bahagiannya selain dikurniakan kesihatan dan rezeki yang melimpah-ruah.

“Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana kurniakan kesihatan yang baik pada saya sehingga hari ini. Segala puji-pujian yang saya dapat, saya sentiasa bersyukur dan saya serahkan semula kesyukuran pada Allah,” ujar Ramli Sarip lagi.

Ditanya mengenai penjagaan kesihatannya, Ramli Sarip memberitahu;

“Apabila sudah berumur ini, saya perlu mendapat tidur yang cukup dan makan makanan yang seimbang. Kalau tidak ada show, selalunya jam 11 malam saya sudah tidur. Pada waktu siang pula, kalau terlalu sibuk, saya pastikan rehat dan tidur sejam dua untuk mengembalikan semula tenaga.

Kenangan… Sweet Charity sejak 55 tahun yang lalu masih bertahan sehingga kini

“Sekarang ini, tidur dan rehat yang cukup sangat penting kerana gaya hidup ini mempengaruhi kehidupan seharian saya. Selain itu, saya juga mengamalkan makanan sunnah seperti pengambilan habbatus sauda, makan kurma, minum minyak zaitun, minum susu pada waktu pagi dan malam serta mengamalkan pengambilan dua sudu madu setiap pagi.

“Setiap hari saya hanya makan nasi sedikit dengan melebihkan sayur-sayuran. Lauk kegemaran saya ialah sambal udang petai dan masakan lemak cili api yang pedas. Daging saya tidak berapa minat tetapi kalau kena dengan masakan, saya makan juga,” katanya sambil ketawa.

Menurut Ramli Sarip, pengalamannya selama ini banyak mengajar dirinya, selain menjaga pemakanan dan tidur dia juga selalu membuat senaman ringan bagi memastikan mental dan fizikal mantap serta bertenaga ketika membuat persembahan pentas.

“Dalam usia begini, kiranya bonus kerana saya masih sihat dan kuat. Semua orang akan sakit tetapi jangan cari penyakit dan kalau nak berbelanja ikutlah kemampuan diri dan bukan menunjuk-nunjuk. Antara senaman yang saya lakukan adalah berjalan perlahan-lahan serta buat senaman ringan bagi memastikan segala otot saya berfungsi dengan baik,” kata bapa kepada enam orang anak ini.

Sepanjang pembabitannya, Ramli Sarip yang digelar ‘Papa Rock Malaysia’ cukup popular dengan lagu “Kamelia” dan “Doa Buat Kekasih” telah menghasilkan sembilan buah album bersama kumpulan Sweet Charity dan lebih 12 album secara solo.

Konsert Semalam di Malaya Lima Dekad Sweet Charity

Pengurus besar MASA (paling kanan) sedang memperkatakan tentang Konsert Semalam di Malaya Sweet Charity.

Melangkaui lima dekad pembabitannya dalam dunia muzik, band legenda, Sweet Charity bakal kembali beraksi di ibu kota bagi mengimbau kembali nostalgia selepas kali terakhir muncul dalam sebuah konsert, 13 tahun lalu.

Konsert Semalam di Malaya Lima Dekad Sweet Charity anjuran Malaysia Shipowner’s Association (MASA) selama tiga yang itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari depan.

Diam tak diam rupanya sudah 55 tahun kumpulan Sweet Charity yang juga dikenali dengan nama ‘Deep Purple dan Santana Singapura’ ditubuhkan dengan diterajui Ramli Sarip sebagai vokalis yang juga pengasasnya bersama Rahman Sarbani (deram), Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).

Ramli Sarip berkata, lamaran untuk Sweet Charity kembali membuat persembahan di Kuala Lumpur, ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

Antara barisan pemuzik yang terpilih untuk mengiringi Konsert Semalam di Malaya bersama kumpulan Sweet Charity.

“Konsert ini ada nilai sentimental kerana ia diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir kami beraksi di Stadium Merdeka pada tahun 2011 yang pernah menjadi fenomena. Sesuatu yang istimewa hanya datang sekali atau dua kali, ia tidak boleh berulang selalu melainkan ada momen-momen tertentu.

“Sweet Charity dikenali dengan persembahan ‘live’
disebabkan itu pemilihan lagu yang tepat adalah penting. Selain bernostalgia, persembahan yang segar akan kami sajikan kerana kami memiliki banyak lagu yang boleh digubah dan diberi nafas baharu. Antara 15 lagu dalam senarai ‘All-time favourite’ seperti “Batu, Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah dan Zakiah.”

“Konsert ini dinamakan Semalam di Malaya kerana ia cukup nostalgia buat kami kerana merentasi Tambak Johor dengan menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ… itu sebabnya kami pilih tajuk begitu,” kata Ramli Sarip.

Menurut Ramli Sarip, mereka tidak kisah dimana konsert tersebut diadakan sama ada di stadium atau Zepp Kuala Lumpur yang mampu memuatkan 2,500 orang penonton sahaja.

Pengurus besar MASA (paling kanan) bergambar kenangan bersama tenaga kerja Konsert Semalam di Malaya bersama Sweet Charity.

“Kami tak kisah berapa bilangan penonton. Yang pasti kami akan berusaha memenuhi jangkaan persembahan kerana lokasi itu dapat memenuhi kehendak penganjur daripada suasana akustik dan juga chemistry. Kalau sambutan mengalakkan, kemungkinan besar konsert ini akan diadakan dua hari berturut-turut.

“Saya lihat, penganjur mahu buat sesuatu yang mereka lalui, ketika mereka membesar, namun memberi kebebasan untuk kami mengekspresikan seni. Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity ini sememangnya tidak harus dilepaskan para peminat. Saya harap konsert ini dapat meninggalkan kesan yang manis dan mendalam pada peminat-peminat kami tidak kira yang baru atau yang lama.

“Sweet Charity ada roh dan semangat yang tersendiri ketika kami beraksi. Orang sukakan Sweet Charity kerana persembahan ‘live’ kami yang penuh perasaan dan itulah yang menjadi kekuatan kami bertahan selama 55 tahun,” tambah Ramli Sarip yang hadir bersama kumpulan Sweet Charity.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengurus Besar MASA, Mohd Helmi Zaharudin, Pengurus konsert Rasa Karya Sdn Bhd, Juria Banding dan Pengurus Media, Mewah Event Management, Aida Husin.

Otai masih berbisa!

Jelas Ramli Sarip lagi, Sweet Charity tidak begitu dipengaruhi kerana pada era akhir 1960-an, tiada video, VHS pun tiada. Jadi mereka mencipta identiti sendiri dengan membawa muzik rock, memberikan apa yang dirasai dan menyerahkan seluruh perasaan dan jiwa sewaktu membuat persembahan.

Tiket berharga RM180 (Batu – Free Standing), RM308 (Sejuta Wajah – Normal Seat), RM388 (Zakiah – Premium Seat) dan bermula RM15,000 bagi VIP Box boleh didapatkan dengan melayari www.ilassotickets.com.my atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.

Previous articleYana Samsudin bakal timang anak ketiga
Next articleSenyumlah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here