Oleh Nury Kadir

DI SINI disambung beberapa lagi hadis berkaitan cara Rasulullah SAW berjalan yang mana sebahagiannya telah dicatatkan pada artikel yang lepas. Hadis ini dipetik daripada buku Kenali Rasul Kita Muhammad SAW-Menyingkap Keperibadian & Cara Hidup Insan Mulia, iaitu sebuah buku yang harus dibaca oleh semua.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibrahim bin Muhmmad yang merupakan salah seorang daripada anak cucu Sayidina Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: “Sayidina Ali r.a. ketika menceritakan tentang sifat Nabi SAW, beliau berkata, “Tatkala Baginda berjalan, Baginda berjalan dengan langkah kuat dan tegap seakan-akan turun ke tempat yang curam (atau berjalan turun dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah).” (at-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan gharib, namun sanadnya tidak bersambung kerana Ibrahim bin Muhammad tidak mendengar sendiri daripada datuknya Sayidina Ali r.a.)

Tafsiran hadis yang dicatatkan di dalam buku tersebut antara lainnya dijelaskan, Rasulullah SAW berjalan dengan langkah yang kuat dan tegap. Seolah-olah Baginda mencabut atau menanggalkan kakinya daripada tanah iaitu cara berjalan seorang yang kuat, bersungguh-sungguh dan mempunyai himmah (cita-cita tinggi).

Ungkapan ‘seakan-akan berjalan di muka bumi yang curam’. Maksudnya hadis itu menyamakan cara Nabi SAW berjalan sama seperti seorang yang turun dari tempat tinggi ke tempat rendah. Di mana cara berjalannya cepat namun tidaklah terlalu laju dan tidak terlalu perlahan (sederhana).

WIKIMEDIA Commons.

Berikutnya adalah hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a. beliau berkata: “Nabi SAW apabila berjalan badannya condong ke depan seolah-olah turun ke tempat curam.” (menurut at-Tirmizi hadis ini hasan shahih).

Tafsiran hadis seperti yang dicatatkan di dalam buku tersebut, maksudnya ketika berjalan badan Baginda SAW kelihatan melonjak ke depan sebagaimana layaknya seorang yang sedang menuruni tempat curam. Itu menunjukkan bahawa Baginda berjalan dengan pantas iaitu kedudukan badan Baginda teguh dan langkahnya besar. Bukan sebagaimana cara berjalan orang sombong yang langkahnya rapat-rapat.

Hendak tahu betapa eloknya cara Rasulullah SAW berjalan adalah seperti yang disebut di dalam hadis berikut. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau menceritakan; “Aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih elok daripada Rasulullah SAW seolah-olah matahari berjalan di wajahnya. Aku juga tidak pernah melihat seorang pun yang lebih laju berjalannya daripada Rasulullah SAW, seolah-olah bumi itu dilipatkan untuk Baginda. Kami memenatkan diri kami (dengan berjalan seperti Baginda) sedangkan Baginda dalam keadaan biasa sahaja.”

Tafsiran daripada hadis tersebut, “Umpama matahari berjalan di wajahnya” ialah keelokan berjalan dan berlegar di wajah Nabi SAW seumpama matahari berjalan atau berlegar pada orbitnya. Atau boleh juga difahami bahawa seolah-olah matahari berada atau menetap di wajah baginda.

Jika diperhatikan betul-betul, cara Rasulullah SAW berjalan cukup sempurna dan boleh ditiru terutamanya oleh kaum Adam. Manakala bagi kaum Hawa tidak salah mengambil ciri-ciri berjalan Rasulullah SAW namun masih menjaga keperibadian wanita yang lemah lembut. Sebaik-baik perkara adalah yang sederhana.

Kenapa Berjalan? Berjalan adalah aktiviti asas. Semua orang yang normal boleh melakukannya, paling mudah dan sesuai untuk semua peringkat umur. Kita tidak akan boleh berlari jika tidak dimulai dengan berjalan.

Berjalan bukan sekadar kita ada kaki maka perlu berjalan dari satu tempat ke satu tempat tetapi berjalan besar manfaatnya kepada kesihatan. Malah banyak kajian telah membuktikan bahawa berjalan dengan teratur boleh mengurangkan risiko nyanyuk, penyakit jantung, kanser dan diabetes.

Kajian yang dijalankan di United Kingdom pada tahun 2013-2015 ke atas 75,000 orang dan kajian tersebut diulang semula pada 2022 terhadap orang yang sama. Ternyata individu yang terlibat dalam kajian itu tidak menghidapi penyakit jantung, nyanyuk dan kanser kerana mereka masih mengekalkan cara berjalan seperti yang disarankan.

WIKIMEDIA Commons.

Bagaimana hendak berjalan?

  1. 30 minit

Berjalan sekurang-kurangnya 30 minit sehari seperti yang dicadangkan menerusi kajian tersebut. Namun ia bukan bermakna berjalan 30 minit sahaja manakala lagi 1000 minit yang lain kita melepak dan bermalas-malasan. Maksudnya lebih banyak berjalan itu lebih baik kesannya.

  1. 9,800-10,000 langkah

Tetapkan matlamat untuk berjalan 9,800 hingga 10,000 langkah sehari. Ini kerana setiap 2,000 langkah boleh mengurangkan 10 peratus risiko penyakit jantung dan  kanser. Jika anda berjalan 10,000 langkah sehari, boleh mengurangkan 50 peratus risiko nyanyuk. Bagi orang dewasa yang berjalan sekurang-kurangnya 8,000 langkah sehari akan memanjangkan umur sedekad lagi.

  1. 80-112 langkah seminit

Orang yang berjalan 80 langkah seminit boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser dan mati awal. Berjalan laju iaitu 112 langkah seminit juga amat membantu untuk menurunkan risiko mendapat nyanyuk.

Kesimpulan yang boleh kita ambil adalah, aturlah cara berjalan yang sempurna sebagaimana Rasulullah SAW berjalan. Kajian itu juga membuktikan kita kena tetapkan berapa lama perlu berjalan setiap hari, berapa jumlah langkah hendak diatur dan berapa laju kaki melangkah. Malah tidak menjadi kesalahan untuk menggabungkan antara cara jalan Rasulullah SAW dengan kajian sains kerana mengamalkan dengan ilmu itu lagi nikmat.

Previous article“Guidelines for Achieving Success in All Areas of Life: 12 Rules to Follow”
Next articleRahsia Khasiat Pokok Sambung Nyawa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here