[Sambungan Artikel Lepas…]

Oleh Nury Kadir

KENAPA pasar-pasar adalah seburuk-buruk tempat di dunia? Bagi menjawab persoalan tersebut rasanya lebih baik merujuk kepada petikan kenyataan yang dikeluarkan dalam  Irsyad Al-Hadith, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan(https://muftiwp.gov.my). Jawapan tersebut dimulakan dengan petikan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah SWT adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ketika menjelaskan hadis ini berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT disebabkan ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta diasaskan di atas ketakwaan.

Adapun berkaitan tempat yang dibenci oleh Allah SWT adalah pasar-pasarnya disebabkan ia merupakan tempat berlakunya penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah SWT dan sebagainya.

Makna suka dan benci Allah adalah Allah menghendaki akan kebaikan dan juga keburukan. Selain itu, dengan perbuatan-Nya itu akan menyebabkan seseorang itu gembira atau berduka. Tambahan pula, masjid-masjid merupakan tempat turunnya rahmat dan pasar-pasar merupakan sebaliknya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/171] Hal ini juga disebutkan di dalam kitab Fath al-Mun’im. [3/397].

Imam al-Qurtubhi di dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa hadis ini di antara dalil menunjukkan kemakruhan memasuki pasar. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang yang padanya terdapat percampuran antara lelaki dan wanita. Kata para ulama, apabila banyaknya kebatilan serta terzahirnya kemungkaran di pasar, maka hukum memasukinya adalah makruh dengan tujuan untuk mendapatkan kebaikan serta mengikut jejak langkah mereka pada urusan agama bagi menyucikan daripada berada pada tempat yang banyak berlakunya maksiat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 13/16].

Tambahan pula, Imam Ibn Batthal ada berkata, masjid merupakan tempat yang disebutkan nama Allah. Manakala, pasar pula adalah tempat yang bising dan lalai serta tempat manusia sibuk mengumpul duit. Di samping itu, sekiranya seseorang itu mengingati Allah di pasar maka ia termasuk di antara amalan yang terbaik. [Lihat: Syarah Sahih al-Bukhari, 6/249]

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia merupakan tempat yang boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT.

Imam al-Mawardi dan selain daripadanya mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimkan pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah s.w.t. [Lihat: al-Majmu’, 9/154]

Pasar Bukan Mall

Mungkin ada yang berkata dalam hadis itu disebut pasar bukannya Mall atau kompleks beli -belah. Maksudnya tempat-tempat yang berawal nama pasar seperti pasar malam, pasar pagi, pasar besar, pasar borong dan segala jenis pasar, sahaja yang menjadi tempat paling buruk di dunia. Itu hanya cara pemikiran logik tanpa berpandukan pendapat daripada ulama.

Jika mengikut definisi Ibn Manzhur dari sudut bahasa Arab, pasar adalah tempat berlakunya segala urusan jual beli. Manakala dalam kitab al-Mu’jam al-Wasith, “Pasar adalah tempat yang didatangkan kepadanya barang dan dagangan untuk tujuan jual beli”. Kedua-dua definisi tersebut dipetik dari Al Kahfi li al-Fatawi (https://muftiwp.gov.my).

Jadi, berdasarkan kedua-dua pendapat tersebut maka pusat beli- belah dan mall juga termasuk dalam istilah pasar. Ini kerana, Mall dan pusat beli belah juga merupakan tempat jual beli pelbagai barangan keperluan asas seperti pakaian, makanan, peralatan rumah dan pelbagai barangan lain.

Tips Elak Boros

Senaraikan tiga keperluan ini sebelum membeli belah untuk mengelakkan kita terlebih berbelanja:-

  1. 1.Daruriyyat

Keperluan paling penting dalam kehidupan seharian seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal untuk berlindung. Setiap keperluan itu harus dipenuhi tanpanya ia akan memudaratkan dan tidak dapat meneruskan kehidupan.

  1. Hajiyyat

Apa sahaja barang atau perkara yang terletak dalam kategori keperluan sahaja dan tanpanya kita masih boleh meneruskan kehidupan. Misalnya telefon bimbit, kegunaannya adalah untuk berhubung antara satu sama lain namun tanpanya kehidupan tetap boleh berjalan seperti biasa.

  1. Tahsiniyyat

Benda atau perkara yang diperlukan untuk kemewahan, kesenangan, keindahan, kesempurnaan atau untuk kecantikan. Pada hakikatnya, ia adalah perkara yang tidak perlu. Sekadar memenuhi kehendak dan kepuasan kendiri sahaja.

Islam tidak melarang kita berbelanja tetapi jangan membazir dan jangan kedekut atau bakhil. Hal tersebut jelas di dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Isra’ ayat 29′

Maksudnya; “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kedekut) dan janganlah kamu terlalu menghulurkan (sangat pemurah) kelak kamu akan tercela dan menyesal.”

Ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT. melarang kita daripada membazir dan juga melarang kita terlalu kedekut hingga tidak menghulurkan langsung kepada mereka yang memerlukan. Kedekut terhadap ahli keluarga sendiri dengan menyekat keperluan penting serta berkira dan tidak menjalankan tanggungjawab sebaiknya. Yang paling baik adalah membelanjakan harta ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT.

Jadi renung-renungkanlah, wahai wanita-wanita sekalian ketika anda memilih untuk ke pusat beli-belah ataupun berkunjung ke pasar. Adakah anda ingin mengikuti setiap pesan Rasulullah s.a.w.?

Previous articleMonday Blues… Inilah Saya!
Next articleMana Hilangnya Seniwati Jelita Noor Azizah ?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here