Oleh: Nury Kadir
Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa keseluruhan diri wanita itu adalah aurat. Hal itu disebut di dalam hadis Riwayat Ibn Haibban. Nabi SAW bersabda;
المرأةُ عورةٌ وإنَّها إذا خرَجتْ استشرَفها الشَّيطانُ
Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya” (HR Ibn Hibban, Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan perawi-perawi hadis ini thiqah (dipercayai).
Aurat wanita Muslimah juga disepakati oleh ulama Syafi’iyah adalah seluruh badan kecuali wajah dan kedua-dua telapak tangan. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, ada beberapa istilah pakaian dari segi bahasa dan syarak perlu diteliti terlebih dahulu untuk memahami maksud sebenar disebalik ayat al-Quran mengenai isu ini.
Al-Khimar (الخِمَار)
Imam Ibnu Kathir mengatakan bahawa al-Khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala. Ia membawa makna yang sama seperti mana takrifan al-khimar dari sudut bahasa, iaitu kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya. Dalam masyarakat kita, al-Khimar dikenali sebagai tudung yang dipakai oleh para wanita untuk menutup rambut dan kepala mereka tanpa mengira apa jua jenisnya.
Al-Jilbab (الجِلْبَاب )
Al-Jilbab dari segi bahasa bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat dibawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas. Imam Ibnu Kathir telah berkata, “Al-Jilbab adalah ar-rida’ (kain atau pakaian lebar) yang dipakai di atas al-khimar (tudung). Inilah yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud RA, ‘Ubaidah, Qatadah, al-Hasan al-Basri, Said bin Jubair, Ibrahim an-Nakha’i, Atha’ al-Khurasani dan selain daripada mereka”.
Berbalik pada surah an-Nur ayat 31, firman Allah;
وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ
Maksudnya : “…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; (Surah an-Nur:31)

Ibn Abbas memberi makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka dan dua tapak tangan. Ini merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan majoriti ulama. Perkataan {وَلْيَضْرِبْنَ} yang membawa maksud “hendaklah mereka memakai” menunjukkan suruhan perbuatan atau perintah wajib. Khumur”الخمر” kata jamak bagi ” الخِمَار “iaitu tudung wanita yang menutup kepala wanita. Sementara, tafsiran جُيُوبِهِنَّۖ ialah menutup sehingga kawasan dada wanita.
Berkata Imam Ibn al-Jarir al-Tabari Rahimahullah dalam Jami` al-Bayan: “Yakni hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutupi dada mereka supaya tertutup juga rambut, tengkuk dan telinga mereka.”
Syeikh al-Maraghi mengatakan; “Wanita pada zaman dahulu menutup kepala mereka dengan khimar (tudung) dan melabuhkan hujung tudung itu ke belakang badan supaya terdedah leher dan dada mereka, seperti kebiasaan zaman Jahiliyyah, lalu mereka dilarang syarak daripada berbuat sebegitu lagi.
Ibnu Kathir membawakan satu hadis riwayat Bukhari ketika mentafsirkan perkataan (وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ) bahawa apabila wanita-wanita yang paling awal berhijrah mendengar ayat ini mereka terus mematuhi perintah untuk menutup aurat tersebut.
Menurut riwayat tersebut:
عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ يَرْحَمُ اللَّهُ نِسَاءَ الْمُهَاجِرَاتِ الأُوَلَ، لَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ {وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ} شَقَّقْنَ مُرُوطَهُنَّ فَاخْتَمَرْنَ بِها.
Maksudnya: Aisyah meriwayatkan, beliau berkata, moga Allah merahmati wanita-wanita yang paling awal berhijrah, apabila Allah s.w.t menurunkan ayat (hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka) mereka mengoyakkan kain mereka dan jadikannya sebagai tudung untuk menutup kepala.(HR Bukhari)
Dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan kewajipan wanita untuk menutup aurat dan bertudung. Oleh kerana itu, haram bagi para wanita untuk menanggalkan tudung atau hijab dan menunjukkan auratnya di hadapan bukan mahram. Apabila Allah s.w.t dan RasulNya memerintahkan untuk melakukan sesuatu, maka ianya tidak boleh dipandang mudah. Allah s.w.t berfirman:
لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ كَدُعَآءِ بَعۡضِكُم بَعۡضٗاۚ قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمۡ لِوَاذٗاۚ فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah an-Nur: 63)

Menurut Imam Nawawi, wajibnya menutup aurat daripada pandangan manusia adalah ijma’. Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan yang bukan mahramnya adalah satu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan pula, di Barat, lukisan perempuan telah menjadi tema utama para pelukis sejak zaman sebelum era neo-Klasikisme dan Romantisisme. Tradisi seni lukisan pada era Rococco (gaya abad ke-18) merupakan masa terakhir bagi monopoli seni klasik, banyak menggambarkan dewi-dewi cantik dengan warna kulit kemerah-merahan dengan posisi yang tidak sesuai.
Misalnya, karya Francois Boucher “Vulcan Presenting Venus with Arms for Aeneas” dan Jean-Honore Fragonard, “The Bather”. Sejak masa neo-Klasikisme, Romantisisme hingga Pascamodernisme, wanita tetap menjadi tema utama dalam sesuatu lukisan. Ramai sarjana Barat yang mengkritik eksploitasi dan objektifikasi wanita dalam media massa untuk melariskan jualan, produk dan perkhidmatan.
“Islam begitu memelihara hak wanita untuk dilindungi dan dipelihara sebaik-baiknya. Oleh kerana itulah turun firman-Nya dalam Surah al-Ahzab: 59 dan Surah al-Nur: 30-31. Ia adalah sebagai satu panduan kepada Muslimah untuk tampil berbeza daripada yang lain dan bangga dengan identiti yang telah menjadi kod etika pemakaian buat dirinya.
“Mungkin ada yang berhujah bahawa menutup aurat juga tidak menjamin keselamatan wanita daripada gangguan seksual dan kes-kes lain yang lebih berat seperti dirogol. Kami tidak menafikannya malah amat bersetuju. Cuma, tidakkah ia adalah kerosakan sampingan (collateral damage) akibat rangsangan nafsu lelaki yang melihat tubuh badan wanita lain?
“Satu bentuk pemahaman yang kurang tepat apabila menghubungkan tujuan pemakaian tudung dengan wanita sebagai objek seksual. Itu adalah satu penghinaan kepada mereka yang memilih untuk bertudung. Bahkan, pemakaian tudung adalah sebahagian daripada pelaksanaan perintah menutup aurat oleh Allah SWT,” tegasnya.
Semoga tidak ada lagi kekeliruan dan tidak perlulah dipertikaikan isu bertudung atau tidak bertudung sedangkan banyak lagi perkara penting untuk membangunkan ummah. Ditinggalkan bicara ini dengan sepotong doa.
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.