Masih tampak jelita walaupun sudah berusia 60an.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Rozita Rohaizad/Koleksi Syed Wafa

Nama Rozita Rohaizat, 68, mungkin tidak sehebat nama ibunya, Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan bapanya, H.M. Rohaizad dan begitu juga nama emak saudaranya, Allahyarham Puan Sri Saloma dan bapa saudaranya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Namun ini tidak menghalang semangatnya untuk meneruskan perjuangan keluarganya dalam bidang seni sebagai penyanyi dan pelakon yang versatile. Rozita pernah menyepikan diri daripada industri hiburan tanah air untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. Kini kembali bergiat aktif untuk meneruskan minatnya menulis lagu dan lirik sama seperti arwah bapanya H.M. Rohaizad,

P.RAMLEE dan Saloma bersama anak-anak dan anak saudara mereka.
Berdiri dari kiri: Sazali, Allahyarham Nasir P. Ramlee, Dian dan Armali.
Duduk dari kanan: Rozita Rohaizad dan Shasha.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, kata Rozita dia akan ke Indonesia hujung Julai ini.

“26 Julai nanti saya terlibat dalam persembahan Solo Keroncong Festival dengan iringan orkestra pelajar Universiti Sabah. Manakala bulan September nanti saya akan ke Scotland untuk Malaysia Festival di sana dengan iringan pemuzik dari Scotland. Antara lagu yang akan saya nyanyikan adalah Zapin Rinduan Kasih, Joget Malam Pertama dan Keroncong Anak Ikan.

“Ini pertama kali saya ke Scotland atas nama Malaysia. Walaupun tak mendapat sebarang tajaan namun saya akan tetap ke sana. Rugi rasanya kalau saya tidak pergi kerana ini pengalaman pertama saya menyanyi di sana. Mana tahu saya boleh membina rangkaian persahabatan disana sambil bercuti.”

Rozita bersama Allahyarham Sudirman Haji Arshad ketika menyanyi bersama di kelab.

Menyentuh mengenai kehilangannya selepas album pertamanya pada tahun 1978, jelas Rozita lagi,“Bukan saya menghilangkan diri, selepas muncul dengan album pertama, Yang Ku Nantikan, saya’ dilamar’ pengurus Anita Sarawak, Bunny Boscoe mengikut Anita sebagai penyanyi latar dan kadang-kadang sebagai penari. Sepanjang 1 1/2 tahun bersama Anita, puaslah saya menjelajah seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat, negara-negara Timur Tengah, Filipina, Hong Kong, Indonesia dan Singapura.

“Seronok bersama Anita namun banyak juga kenangan dan pengalaman pahit dan manis yang saya lalui. Yang paling saya tak tahan ialah kami selalu masuk tidur selepas Subuh.

Kenangam bersama Anita Sarawak (Paling Kanan)

“Selepas itu saya menyanyi secara solo ke Dubai dan merata tempat. Sehinggalah saya berkahwin dan memberi tumpuan pada rumah tangga dan anak perempuan saya yang kini berusia 32 tahun. Bila suami saya meninggal pada 2006 barulah saya berjinak-jinak kembali dalam industri dan secara aktifnya pada tahun 2008.

“Saya kembali ini pun kerana ibu saya ingin anak-anaknya meneruskan legasi kami kerana keluarga Saloma tiada pewaris dalam industri ini. Mungkin nasib saya tak sebaik artis yang lain, namun saya adalah artis veteran yang masih aktif menyanyi. Mungkin sesetengah orang yang tidak mengenali saya anggap perjuangan dan sumbangan saya tidak besar pada industri. Tapi saya buat apa yang terdaya.”

Selain pernah bersama Superstar Anita Sarawak, Rozita juga sering berduet dengan Allahyarham Sudirman di kelab-kelab menyanyikan lagu-lagu Inggeris yang popular sekitar 80-an dan 90-an.

“Mungkin ramai yang tak tahu. Itulah pengalaman saya selama ini bersama Anita Sarawak dan Sudirman. Mungkin nasib saya tidak sebaik mereka menyebabkan nama saya tidak sehebat mereka berdua. Namun saya bangga kerana pernah bersama mereka berdua,” ujar Rozita yang baru saja menghasilkan lagunya yang ke 42 bergenre nostalgia bertajuk Kata-Kata P. Ramlee dan Saloma.

Kenangam berlakon dalam filem ‘Setinggan”

Walaupun namanya tidak segah artis-artis popular namun Rozita cukup bertuah dan pernah melakar sejarah artis Malaysia pertama yang diundang menjayakan Festival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2021.

Di pentas antarabangsa pula, Rozita pernah beberapa kali mewakili Malaysia di pelbagai festival. Pada 1982, Rozita bersama penyanyi Anita Sarawak mewakili Malaysia di ASEAN Trade Fair di Manila. Seterusnya, di National Multicultural Festival Canberra, Malaysia Fest Sydney, Fifth North Sumatra Jazz Fest, Silaturrahmi Keroncong Nusantara Indonesia, Grebek Keroncong Festival Salatiga. Malah Rozita juga berpeluang untuk muncul di Fuji Television Japan, Channel 31 Melbourne dan Channel 44 Adelaide Australia.

Album terawal Rozita Rohaizad.
Kenangan bersama Sudirman Haji Arshad dan ibu saudara tercinta Saloma.

Bekas pelajar RMIT Australia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Bachelor og Business) pengkhususan dalam bidang Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1998. Rozita juga pernah berkhidmat sebagai wakil peniaga berlesen (remisier) di Firma CGS- CIMB Securities Berhad.

Bercerita mengenai penglibatan awalnya sebagai penyanyi, jelas Rozita lagi,“Masa itu saya tengah bersedia nak masuk pra universiti. Namun sepupu saya, Shazie mengajak menyertai kumpulannya, Scram yang akan mengadakan persembahan di Johor Baharu. Enam bulan bersama mereka dan selepas itu saya terus bergerak solo.

Menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air, ‘Kisah Cinta’ bersama Hail Amir.
Menjayakan persembahan bersama bintang angtarabangsa, Jim Brickman.

“Selepas itu barulah saya memberitahu Mama (Saloma) dan Emak (Mariani) yang saya dah jadi penyanyi. Mama menyuruh saya datang ke Kuala Lumpur dan terus diperkenalkan kepada komposer Ahmad Nawab sehingga terhasilnya album pertama, Hari Yang Ku Nantikan bersama syarikat rakaman EMI pada tahun 1978.”

Rozita telah merakamkan lebih daripada 40 lagu dalam genre pop, pop jazz, dangdut dan Melayu tradisional. Lagu klasik beliau yang paling popular ialah Cik Cik Boom dan Hingga ke Akhirnya. Manakala lagu yang sering mendapat permintaan peminat untuk didendangkan di acara keramaian ketika ini ialah Keroncong Anak Ikan dan Joget Malam Pertama

Bersama ibu tercinta, Seniwati Mariani.
Masih aktif menerima jemputan menyanyi.

Antara lagu-lagunya ialah Hari Yang Ku Nantikan, Jangan Jangan Mengata, Kekal Abadi, Raikan Lebaran (single raya), Hingga ke Akhirnya, Kenek-kenek, Anak Ikan, Zapin Rinduan Kasih, Doa untuk Dunia, Malaysiaku Sayang, Joget Malam Pertama dan Keroncong Anak Ikan.

Cik Cik Boom, Fikirlah Sayang, Joget Budaya, Khayalan, Pandangan Pertama, Jejaka Hati Ini, Korban Cinta, Syair Sang Bulan, Kekal Abadi, Panah Rindu, Jalan Bersama, Perasaan, Bayangan Cinta Mu, Bertamu Memori, Impian Semata, Duniaku Duniamu, Rempit, Pergi Takkan Kembali, Menari dan Menari, Cinta Untukmu, Berjumpa Untuk Berpisah, Dia Milik Ku dan Menanti, Kini Aku Disampingmu

Berama ibu saudara, Seniwati Mimi Loma.
Bersama anak saudara,
Najwa P. Ramlee.

Selain menyanyi, Rozita juga aktif berlakon setelah diperli ibunya yang ingin kan anaknya mengikut jejak langkahnya berlakon. Beliau pernah membintangi filem Serampang Tiga, Setinggan, Dendam Dari Pusara (1983), Sumpahan Puaka dan Phuyal 18.

Dalam filem Setinggan, Rozita turut menyumbangkan suaranya dalam lagu Gugurnya Mawar Desa ciptaan Kassim Masdor. Lagu ini telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Filem pada Pesta Filem Malaysia 1983.

Sering mendapat jemputan menjayakan persembahan di luar negara.

Dalam dunia teater, Rozita juga pernah tampil dalam teater yang cukup berprestij iaitu teater Atap Genting Atap Rumbia, Budak Joget, Muzikal Lagenda Cinta dan Teater Tun Kudu. Manakala penampilan khas beliau dalam drama bersiri seperti Tanah Kubur dan Gerak Khas 2010.

“Saya bangga dilahirkan dalam keluarga seni yang hebat dan mereka juga telah membuka jalan untuk saya bergelar penyanyi dan pelakon. Namun saya sedih sebab mereka semua tidak dapat bersama saya mengecapi dan melihat kejayaan saya. Kalau mereka ada, sudah pasti saya dapat merakamkan lagu bersama-sama mereka.

Rozita sentiasa menjaga penampilan dan kesihatan beliau untuk kekal sihat.

“Jika diberi peluang, saya ingin menyertai teater seperti Muzikal P. Ramlee sebab teater tersebut memang menarik dengan tarian, nyanyian dan sebagainya. Namun, saya rasa sukar untuk mendapat mana-mana watak untuk dilakonkan. Jika diberi peluang, saya suka membawakan watak Saloma sebab saya tahu tentang ciri-ciri yang ada dalam dirinya lebih-lebih lagi dia merupakan ibu saudara saya.’’

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here