Oleh: Khadijah Ibrahim
SEKARANG ini nak jadi penyanyi mudah saja. Kalau rasa diri boleh menyanyi dan berkeyakinan, buatlah persembahan di media sosial seperti TikTok pasti ramai yang akan memberi sokongan.
Memang nampak mudah tapi tidak semua orang mendapat peluang tersebut kerana rezeki seseorang dalam bidang yang diceburi adalah rahsia Yang Maha Esa.
Bagi Fairuz Syazwan, 23, nyanyian memang minatnya tapi anak muda berasal dari Negeri Sembilan itu tidak sangka dia berpeluang merakam lagu di bawah label Suria Records.
“Saya sebenarnya tak sangka terpilih untuk menjadi artis SRC yang sebelum ini mencari bakat-bakat baharu menerusi media sosial dengan menghantar video nyanyian.

“Alhamdulillah selepas menandatangani kontrak dengan SRC, saya diberi peluang untuk tampil dengan single pertama berjudul “Sendirian”, karya ciptaan Aepul Roza,” jelas Fairuz yang pernah mencuba nasib di program Big Stage dan I Can See Your Voice sebelum ini.
Lagu “Sendirian” walaupun tidak ada kena mengena dengan diri Fairuz, namun dia berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan.
“Bagi saya, lagu ini sesuai untuk semua orang kerana sebagai manusia kita semua mahu menyintai dan dicintai. Lagu ini berkisahkan mengenai cinta yang tidak terbalas amat dekat kepada umum.
“Saya dan Aepul dapat merasakan lagu ‘Sendirian’ ini boleh dikaitan dengan ramai orang dalam kehidupan masing-masing. Sewaktu proses rakaman saya meletakkan diri sebagai insan yang terkait dengan kisah dalam lagu itu. Itulah hasilnya, harap “Sendirian” sampailah ke hati pendenar,” katanya penuh harapan.
Menyentuh mengenai muzik video lagu ini pula, pihak Suria Records mendapatkan sentuhan seseorang yang arif dalam bidang suntingan dan lakonan iaitu Pekin Ibrahim yang terkenal dengan beberapa buah filem popular dan pernah dinobatkan dengan beberapa anugerah.
Selain mengarah, jalan cerita di dalam muzik video “Sendirian” ini juga disusun dan dibuat sendiri oleh Pekin. Pihak syarikat tidak memandang enteng terhadap artis-artis dibawah naungan syarikat walaupun mereka adalah pendatang baharu.
Selain ingin memberikan yang terbaik kepada pencinta muzik di luar, SRC sememangnya mendahulukan kualiti berbanding kuantiti. Lagu “Sendirian” boleh dimuat turun di iTunes dan strim menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, YouTube Music dan Spotify. Malah lagu “Sendirian” juga kerap diputarkan di corong radio tempatan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.