Akhirnya Elite mendapat kepercayaan Icon Entertainment untuk menganjur konsert 'Elite Live '25' selepas melihat reaksi penonton sewaktu kemunculan mereka di konsert GenKRU baru-baru ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Elite/Koleksi Syed Wafa

SELAMA 10 tahun kebelakangan ini, Elite seakan ‘sepi’ daripada kerjaya seni suara kerana masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan urusan sendiri.

Tambahan pula sekarang ini nama kumpulan muzik wanita yang menguasai pasaran tempatan adalah Dolla dan De Fam, secara tidak langsung nama Elite semakin padam daripada ingatan peminat, melainkan peminat tegar mereka.

Walau bagaimanapun lagu-lagu popular mereka seperti “Trauma”, “Tamparan Wanita”, “Manisnya Senyuman Mu”, “Sesuatu Di Dalam Dirimu” dan “G.I.G” hanya didengar menerusi corong radio atau dimainkan penstriman digital serta tayangan YouTube.

Anggota Elite ketika di awal kemunculan dulu.

Namun nama kumpulan Elite kembali menjadi perhatian ramai selepas mereka muncul di konsert GenKRU yang berlangsung selama empat malam bermula pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025 di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil.

Penampilan Elite yang dianggotai oleh Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali dan Abby Abadi yang berduet dengan KRU untuk lagu “Di Pintu Syurga” membuatkan peminat mereka mahukan lebih lagi.

Persembahan ini menandakan kali pertama kelima-lima ahli asal Elite membuat persembahan bersama sejak tahun 2010. Selain itu, pada malam ketiga dan keempat konsert tersebut, mereka juga membawakan lagu “Tamparan Wanita”.

Lagu G.I.G antara karya yang mengingatkan peminat kepada Elite.

Menganggap kemunculan mereka di konsert Datuk Norman Abd Halim, Datuk Yusry dan Edry itu sebagai peluang keemasan untuk Elite, kesemua anggota kumpulan yang ditubuhkan pada 1995 tidak menolak apabila ditawar oleh Icon Entertainment untuk menjayakan konsert sendiri.

Kepercayaan dan keyakinan pengasas Icon Entertainment, Iman Tang mempelawa Elite untuk menjayakan persembahan berskala besar merupakan rezeki yang tak diduga oleh mereka.

Tambahan pula tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 keberadaan Elite dalam industri seni hiburan tanah air. Elite bakal meraikan pembabitan mereka sebagai anak seni dengan menjayakan konsert ‘Elite Live ‘25’ yang bakal berlangsung di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 September 2025.

Sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air.

Buat Elite, lamaran Icon Entertainment untuk mewujudkan mimpi mereka melakukan konsert dalam skala besar adalah sebuah peluang yang hadir bersama kegusaran.

Apatah lagi kelima-lima anggotanya sudah lama mempunyai kehidupan masing-masing dan sangat jarang berkumpul untuk mengisi kekosongan panggung sebagai penghibur.

“Sejujurnya kami gusar mengenangkan banyak perkara kerana seperti semua tahu, Elite sudah lama tidak melakukan persembahan pentas apa lagi dalam skala besar. Jadi apabila menerima lamaran Icon Entertainment, perasaan kami bercampur baur.

Antara album Elite.

“Bagaimanapun kami memutuskan untuk bersetuju dan keputusan ini mengambil kira tentang karya-karya yang diciptakan buat Elite masih digemari, masih relevan dan Elite mahu berpesta dengan peminat lama serta meraikan peminat yang baru mengenali kami nanti,” kata Linda.

Tambah Linda, keikhlasan Iman melayan mereka sebagai artis membuatkan peluang yang diberikan itu tidak akan disia-siakan begitu saja walaupun ada penganjur lain yang berminat untuk bekerjasama dengan mereka.

“Kalau kita nak terima tawaran penganjur lain, mereka takt ahu latar belakang kita dan kita pun tak mengenali mereka. Tapi kalau Iman ini kita sudah tahu kerjanya. Bila dapat tawaran daripadanya, kita terus beri kerjasama.

Azza dan Abby dari kumpulan Elite menjadi cover majalah hiburan “Hai”.

Elite sangat beruntung kerana rezeki seseorang lain bila berlima sangat luar biasa. Banyak juga tawaran sebagai duta produk tapi kita serah pada Iman untuk bincangkan,” tambah Linda lagi.

Sementara itu Azza juga mengakui yang mereka semua teruja apabila mendapat tahu ada pihak yang memberi Elite platform besar untuk berada di pentas sendiri.

“Lepas dari konsert GenKRU, kami sempat ditanya oleh dua tiga penganjur yang lain tapi repertoire Iman sangat besar dan telah menghasilkan konsert yang bagus dengan KRU. Dengan terhasilnya beberapa nama yang dianjurnya sebelum ini.

Bersama Iman Tang yang memberi ruang kepada Elite untuk kembali beraksi di pentas dengan lagu-lagu popular mereka.

“Konsert KRU itu sangat kuat kerana kita tengok kredibliti bukan saja dari pihak KRU tapi dari pihak penganjur juga. Saya rasa itu jugalah yang membuat kami mendapat inspirasi daripada melihat sejauh mana penglibatan KRU dan Icon mempersembahkan konsert untuk peminat.

“Harapan saya, sudah tentulah kita nak buat yang terbaik. Seperti yang orang kenali Elite tu adalah satu nama yang besar, dan niat kita nak bawa kembali kenangan kita pada tahun 1990-an. Mengimbas kembali waktu zaman bercinta dulu,” kata Azza penuh semangat.

Dalam masa yang sama kata Azza, Elite juga sudah bersedia untuk menerima segala komen selepas ini selepas mengambil langkah berani untuk menjayakan konsert solo sendiri.

“Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Kami ambil langkah yang sangat berani, keberadaan Elite di sini adalah untuk menghibur peminat kami dengan lagu-lagu Elite. Peminat-peminat Elite sudah tahu kebolehan Elite di tahap mana.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 keberadaan Elite dalam industri seni hiburan tanah air.

“Sebenarnya mereka nak dengar lagu-lagu yang famous daripada Elite, itu saja. Mereka nak tengok kami berlima dan tak ada masalah, kalau ada yang bitter-bitter sikit tu tak apalah. It’s normal, kami menerima dengan hati terbuka sebab bagi kami apa yang lebih penting adalah ini peluang Elite untuk menghargai peminat-peminat yang bersama Elite selama ini,” ujarnya.

Kata Azza lagi, persetujuan mereka untuk menjayakan konsert ‘Elite Live ‘25’ bukan untuk bertanding dengan sesiapa tapi sekadar untuk memeriahkan lagi industri hiburan dan menghiasi serta mengisi permintaan daripada peminat sendiri.

“Ada peminat yang suka Elite sudah rasa vibe itu, kalau yang bitter tu is normal la. Selagi peminat terima kita seadanya, itu sudah memadai. Untuk menjayakan konsert ini, kami akan usahakan yang lebih baik, mudah-mudahan kita berjumpa dengan guru vokal yang dapat membantu untuk Elite nampak lebih baik.

“Begitu juga sama ada nak ajak bekas anggota lain sertai konsert ini, itu kena tanya penganjur. Kalau ikutkan, hanya Fiza yang tandatangani kontrak dengan Elite. Anggota yang lain tu hadir untuk memberi sokongan kepada kami ketika itu.

Elite akan pastikan persembahan mereka dapat meninggalkan memori indah kepada penonton yang hadir.

“Bukanlah tidak mengenang jasa mereka tapi di kesempatan ini saya nak ucapkan terima kasih juga kerana membantu saya ketika itu sebab banyak show yang dapat. Waktu itu Linda sedang hamil, Watie dengan dunianya tersendiri dan Sasha di luar negara,” jelas Azza.

Bagi Abby pula, walaupun penglibatannya bersama Elite tidak lama seperti Azza, Sasha dan Linda, dia tetap rasa gembira apabila dapat bergabung semula dengan rakan-rakan lain.

“Selepas keluar Elite, saya tak masuk balik pun. Masa konsert KRU baru kita dapat berkumpul kembali. Lepas keluar Elite, saya tak ambil tahu tentang perkembangan Elite tapi sering bertemu dengan Azza, sebab kawan.

“Selepas 30 tahun, tiba-tiba dapat tawaran mengadakan konsert, siapa yang tak teruja. Semuanya di luar jangkaan. Begitu juga dengan jemputan untuk konsert GenKRU, itupun di saat akhir.

“Saya ingatkan setakat itu sajalah penampilan kami tapi tak sangka, ada rezeki lebih besar lagi. Bila Iman tawarkan untuk buat sesuatu bagi mengembalikan nostalgia, pastilah kita gembira. Kita tak ada cubaan untuk bertanding atau buat perkara yang di luar kemampuan. Kita rasa teruja untuk mengembalikan nostalgia artis.

Anggota asal Elite yang bermula sejak 1995 bakal beraksi di pentas untuk menghiburkan peminat yang sentiasa menunggu kehadiran mereka.

“Kini kami lebih berani dan berkeyakinan kerana Iman sebab kalau ikutkan dah terlalu lama sangat Elite tak aktif dalam industri. Jika KRU tu bapanya dan kita ini hanyalah anak-anaknya saja.

“Janganlah terlalu menjangkakan sesuatu yang terlalu besar tapi doakan la supaya kita dapat memberikan yang terbaik untuk semua orang yang menanti,” kata Abby yang akan membahagi masa dengan setara antara bisnes dan latihan yang bakal dilalui sebagai persiapan untuk konsert kelak.

Walaupun Sasha kini menetap di Dubai, itu bukan masalah kerana sejak mendapat tawaran menjadi artis jemputan di konsert GenKRU, dia sudah beberapa bulan menetap di Malaysia.

Kata Sasha, dia beruntung kerana suami, Sirhan Wahab sentiasa menyokong kerjaya seninya. Tambahan pula anaknya, Adam Aryasenna Notosoemarson kini kembali meneruskan pelajaran di Malaysia dan menetap bersama ibunya.

“Saya sudah tiga bulan di sini sejak hari raya hari tu sebab untuk konsert KRU. Selepas konsert KRU di Singapura, saya akan kembali ke Dubai dan datang balik ke Malaysia sebelum konsert. Jadual yang diatur oleh Iman, setiap hari ada latihan,” katanya.

Ada tema pakaian untuk menonton konsert Elite kerana ia disesuaikan mengikut judul album sulung mereka “Catwalk”.

Bercakap mengenai penganjuran konsert ‘Elite Live ‘25, Iman Tang menyifatkan semua perancangan yang disusun sehingga bakal terlaksananya konsert tersebut bukan sahaja buat Elite tetapi industri muzik tempatan.

“Penganjuran ‘Elite Live ’25’ ini adalah sebuah projek yang telah melalui beberapa fasa penelitian, perancangan dan perlaksanaan yang semuanya tidak dilakukan secara sambil lewa.

“Sebagai penganjur, Icon Entertainment sedar bahawa kami sendiri telah menganjur banyak konsert. Industri hiburan tempatan dan Nusantara juga jadi meriah dengan banyaknya konsert dalam kalangan rakan penganjur saya yang lain dan ini menunjukkan betapa sihatnya industri kita.

“Jadi penganjuran ‘Elite Live ‘25’ bukan penganjuran tangkap muat kerana saat ini konsert sedang hype tetapi melihat betapa relevan girl band ini untuk melakukan konsert berskala besar yang sepadan dengan kewujudan mereka.
“Penganjuran konsert ini akan menjadi sejarah penting bukan hanya kepada kumpulan ini tetapi industri muzik amnya kerana karya-karya hebat yang diciptakan pada tahun 90-an misalnya masih menjadi kegemaran ramai,” ujar Iman Tang.

Kali terakhir Elite mengeluarkan single adalah pada 23 April 2021 selepas lama tidak berkarya. Lagu tersebut diterbitkan bagi menyatukan semula lima anggota asal Elite.

Konsert yang bakal berlangsung pada 20 September ini merupakan impian anggota Elite.

Malangnya, “Alhamdulillah” yang dikeluarkan di bawah label Imaan Studios tidak dapat dipromosi dengan giat kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana Covid.

Sejak awal pembabitan dari 1995 hingga kini, Elite telah menghasilkan beberapa album, antaranya, “Catwalk” yang merupakan album studio pertama yang dikeluarkan pada 27 Oktober 1966, “Tamparan” (Mac 1998) dan “Idola” (1999) serta album kompilasi “Merbahaya” yang dikeluarkan pada 2000.

Elite diiktiraf sebagai kumpulan penyanyi wanita yang paling lama bertahan di Malaysia, mereka tela menjual lebih daripada 100,000 unit album sepanjang 10 tahun aktif dalam industri muzik tanah air.

Bagi Elite Warriors yang ingin mencipta momen indah bersama kumpulan tersebut bolehlah mendapatkan tiket di www.ticket2u.com.my/elite pada harga GIG (RM1,088 – with Meet & Greet and refreshment), MANISNYA SENYUMANMU (RM588), CATWALK (RM268) dan TAMPARAN WANITA (RM268).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here