Artis yang bakal menjayakan Konsert Muzik Kita! terkenal di kalangan kelompok peminat muzik underground.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PEPATAH ada menyatakan ‘hanya jauhari mengenal manikam’ yang membawa maksud orang yang arif dan pakar dalam sesuatu bidang sahaja yang dapat menilai dan menghargai sesuatu yang berkualiti.

Jika anda adalah peminat muzik arus perdana atau komersial, anda pasti tidak mengikuti aliran muzik indie atau bawah tanah. Hanya mereka yang benar-benar menghargai serta memiliki apresiasi yang cukup tinggi terhadap aspek seninya, keasliannya serta penceritaannya saja akan teruja untuk menonton atau menghargai genre indie.

Tambahan pula, pemuzik indie jarang diketengahkan dan mereka hanya dikenali di kalangan kelompok tertentu saja berbanding pemuzik komersial.

Airil Pilus mengambil inisiatif menganjurkan Konsert Muzik Kita! sebagai tanda penghargaan kepada pemuzik indie dari era 90-an hingga kini.

Biarpun begitu, ada sahaja kelompok pencinta muzik menggemari muzik bawah tanah ini sejak ia mula meledak di tanah air pada awal era 90-an. Bagi menyatukan pemuzik dan penggemar muzik indie ini, Hard Global Ventures mengambil inisiatif menganjurkan Konsert Muzik Kita!

Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau Aril Pilus berkata, Konsert Muzik Kita! merupakan satu inisiatif untuk terus mengangkat nama-nama artis dan kumpulan muzik bawah tanah dari generasi era 90-an hingga sekarang agar ia terus dikenang serta tidak lenyap dengan memberi ruang kepada mereka terus berkarya secara kreatif tanpa batasan.

Pada masa yang sama, konset itu dapat menyatukan kelompok peminatnya dalam menzahirkan ekspresi muzik mereka tersendiri tetapi dengan berpegang kepada rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

Konsert Muzik Kita! bakal menyatukan artis dan kumpulan muzik bawah tanah daripada beberapa generasi 90-an hingga sekarang seperti Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana dan Salammusik serta artis Indonesia, Nosstress itu akan diadakan di MAEPS Serdang Hall A pada 2 Ogos ini.

“Konsert Muzik Kita! adalah sebuah cara muzik berkonsepkan muzik ‘timeline’ yang menyajikan penonton atau pencinta muzik bawah tanah untuk menikmati persembahan daripada golongan artis bawah tanah bermula daripada generasi X sehinggga ke alpha.

Fimie Don gembira dapat beraksi di pentas yang sama dengan pemuzik legenda.

“Sayang sekali kalau kita tidak melakukan penyatuan ini walaupun ada di antara nama-nama artis atau kumpulan muzik bawah tanah ini tidak dilihat gah seperti artis mainstream, namun pengaruh dan populariti mereka sangat kuat. Ada yang sudah berjaya merentasi negara luar dengan pencapaian-pencapaian yang cukup membanggakan.

“Kita mahu ‘mendidik’ generasi penonton atau artis/kumpulan muzik bawah tanah baharu untuk menghargai generasi penonton atau artis/kumpulan muzik bawah tanah lama serta generasi lama menerima karya, idea atau cara generasi baharu menikmati muzik.

“Dulu-dulu, kita dengar muzik bawah tanah melalui radio atau di gigs-gigs dengan cara yang lebih energetik (melompat, menari, banging atau pogo). Tetapi, generasi hari ini punya cara mereka adalah cara ‘healing’ yang sangat berbeza. Tetapi, akhirnya muzik tetap jadi tempat kita semua kembali,” katanya.

Jelas Aril Pilus lagi, idea menganjurkan konsert ini datang daripada beberapa siri percubaan yang cuba dilakukan, malangnya ia gagal mencapai piawaian yang diinginkan.

“Ia juga suatu usaha untuk melakukan sesuatu yang baharu. Selepas menimba ilmu di Univerisiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang pengurusan industri kreatif, saya terfikir apa yang perlu saya lakukan dalam kerjaya saya dan bagaimana saya boleh menyumbang kepada industri muzik?

Loque mewakili Monoloque dan Butterfingers harap ramai peminat datang ke konsert tersebut.

“Jadi, saya cabar diri saya dengan cara menganjurkan konsert. Awalnya memang agak kabur kerana kita sendiri adalah seorang selebriti. Tetapi dengan sedikit pengalaman menganjurkan show kecil serta ilmu yang dikutip daripada orang-orang berpengalaman serta bantuan rakan-rakan, saya cuba redah,” katanya.

Loque yang mewakili Monoloque dan Butterfingers berkata, dia berharap ramai pengikut Butterfingers yang sinonim dengan gelaran Royal Butters tidak akan melepaskan peluang untuk datang menyaksikan konsert ini.

“Ramai yang mahukan kami membawakan lagu-lagu klasik dalam album awal Butterfingers seperti 1.2 Miligrams (1996), Butter Worth Pushful (1997) serta Transcendes (1999). Permintaan ini juga datangnya daripada pihak penganjur sendiri.

“Saya labelkan lagu-lagu Buntterfingers zaman itu sebagai ‘Grunge Totok’. Jadi, bagi pengikut kami yang asyilk tanya bila kami nak bawakan lagu-lagu kami grunge kami dalam album-album ini, inilah masanya.

“Rugi, kalau tak datang. Lagipun, Butterfingers akan menjadi artis terakhir yang membuat persembahan pada konsert ini,” katanya.

Antara artis yang akan menjayakan Konsert Muzik Kita! di MAEPS Serdang pada 2 Ogos depan.

Menurut Loque lagi, bagi persembahan bersama Monoloque pula, dia akan menyanyikan lagu-lagu yang diiminati kelompok peminatnya termasuk lagu-lagu baharu yang dirillis pada tahun lalu.

“Bahkan, saya juga bercadang untuk mengundang Atilia dan Herman Tino sebagai artis undangannya pada malam itu. Dalam konsert ini juga, Monoloque akan menjadi artis pembuka tirai,” ujaranya.

Sementara Fimie Don pula berkata, dia berasa teruja apabila berpeluang untuk beraksi di Konsert Muzik Kita ini bersama artis sezamannya serta artis legenda seperti Butterfingers dan Salam Music.

“Saya adalah pelakon yang cukup serius menjadi penyanyi dan saya mahu tonjolkan bakat dan kreativiti saya dalam bidang ini. Peluang yang diberikan untuk beraksi di pentasi ini pasti tidak akan saya lepaskan.

“Apatah lagi bila dapat berada sepentas dengan Loque yang memang selama ini menjadi mentor dan sumber inspirasi saya untuk menjadi seperti beliau,” katanya.

Tiket Konsert Muzik Kita! yang bermula dengan harga RM75 hingga VIP RM300++ itu boleh didapati di pautan www.ticketmelon.com. #konsertmuzikkita #HardGlobalVentures

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here