Bermula sebagai peniaga online, kini Ronnie menjadi pemborong pula kepada peniaga online yang lain.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI ada di antara anda yang menjadikan lagu “Harapan” dendangan kumpulan Hyper Act sebagai sebahagian daripada memori dalam kehidupan masing-masing.

Lagu yang dicpta sepenuhnya oleh Toi Baharom, pemain bass Hyper Act yang dinyanyikan oleh Ronnie Hussein itu merupakan single pertama kumpulan tersebut yang dikeluarkan pada 2012.

Sebelum bergerak solo, Ronnie merupakan vokalis kumpulan Hyper Act.

Malah lagu yang masih menjadi pilihan ramai hingga hari ini pernah dijadikan runut bunyi untuk drama ‘Seindah Sakura’ lakonan Fahrin Ahmad bersama Fasha Sandha.

Meskipun sekarang ini Ronnie tidak lagi bersama Hyper Act, namun tatkala mendengarkan lagu “Harapan” automatik peminat irama balada tahu itu lagu nyanyian Ronnie atau nama sebenarnya, Sharon Hussein, 44 tahun.

Selepas menyertai GV11 rezeki Ronnie Hussein semakin berganda.

Pada tahun 2013, Hyper Act tampil dengan single kedua,“Hanya Aku”, ciptaan kumpulan tersebut bersana Frozen selaku penulis lirik yang dijadikan runut bunyi untuk drama ‘Ariana Rose’ dan lagu itu juga menjadi naib juara di Anugerah Juara Lagu ke-28.

Bagaimanapun jodoh Ronnie bersama Hyper Act tidak panjang kerana pada 2015 sebelum kumpulan tersebut keluarkan album sulung berjudul “Impian”, dia terlebih dahulu menarik diri.

“Mungkin ada yang dengar cerita kata saya bergaduh dengan anggota Hyper Act tapi sebenarnya tak pun, cuma perselisihan faham dengan pengurusan lama saja. Bila pengurusan lama tidak lagi mengurus Hyper Act, okey saja sebenarnya.

Lagu “Harapan” nyanyian Ronnie bersama Hyper Act masih diminati hingga kini.

“Sampai sekarang saya masih lagi berhubungan dengan mereka dan pernah buat konsert Hyper Act bersama pada tahun lepas. Saya rasa tak ada isu sebab saya berpecah dengan mereka kerana gaduh tapi dari segi pengurusan saja.

“Saya senang bekerja dengan band dan bergerak secara solo seperti sekarang ini, tapi siapa tahu di masa akan datang saya akan bersama band lain atau berkolaborasi dengan Hyper Act. Sekarang ini Hyper Act ada penyanyi sendiri iaitu Firman AF dan saya pun baik dengan mereka dan pernah pergi show bersama,” jelasnya menafi dakwaan yang mengatakan hubungannya tidak baik dengan anggota Hyper Act.

Ronnie yang pernah menjadi penyanyi untuk kumpulan Sunday yang popular dengan lagu “Semakin Hari Semakin Jauh” sebelum menyertai Hyper Act, berkata, dia senang untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

“Benar Aku Cinta” merupakan single Ronnie yang dikeluarkan sebelum menyertai GV11.

“Saya tak kisah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja selagi mereka mempercayai dan menghormati saya punya keputusan. Dengan umur macam ni agak susahlah nak cari anggota yang sekepala. Daripada buang masa dan menyakiti hati orang lain baik saya gerak secara solo.

“Bila bergerak solonya terbatas sikit kalau buat persembahan. Kalau dengan band banyak gimik yang boleh dibuat di atas pentas tapi kalau dengan minus one, biasa saja.

“Buat masa sekarang saya lebih selesa bergerak solo. Saya pun sudah ada beberapa buah lagu solo tapi kalau di masa depan untuk berkolaborasi dengan mana-mana band, saya okey saja,” katanya yang merupakan salah seorang peserta program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 pada awal tahun ini.

Jika ditawar menyertai kumpulan muzik, Ronnie lebih senang untuk bekerjasama dengan kumpulan baharu.

Selain Gegar Vaganza, pada 2007, Ronnie pernah menyertai One In a Million (OIAM) untuk musim kedua yang turut disertai oleh Ayu Damit (juara), Shila Amzah, Allahyarham Siti Sarah dan Intan Sarafina.

Manakala single solo pertama Ronnie adalah “Dikoyak Waktu” yang diterbitkan oleh Aepul Roza. Lagu solo lain adalah “Lagu Kita” dan “Benar Aku Cinta” yang dikeluarkan sebelum dia menyertai Gegar Vaganza. Selain itu, suami kepada Hafizah Yahya dan bapa kepada Raisya Umairah dan Iman Yusof itu juga pernah menyertai program realiti Duo Star 2016 berpasangan dengan Sarah Fazny.

“Undangan persembahan memang sangat drastik selepas GV. Kalau sebelum GV saya ada lapan show sebulan tapi alhamdulillah selepas GV tawaran show berganda. Terima kasih pada yang sentiasa menyokong kerjaya saya.

Ronnie Hussein mudah berkawan dengan rakan artis lain.

“Sebelum sertai GV, setiap tahun kalau bulan puasa saya berniaga di bazar Ramadan tapi tahun ini saya tak berniaga sebab sibuk. Sebenarnya, saya mula aktif berniaga di media sosial sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi.

“Daripada situ mula berniaga secara serius di media sosial dan income pun menarik juga. Tapi bila sudah lama dan terlalu ramai ia agak perlahan. Saya berniaga di media sosial itu bukan sebab saya tak ada show, sejak dulu lagi sebelum menyanyi, saya sudah berniaga tak kiralah secara fizikal atau online.

“Berniaga sudah menjadi darah daging selain daripada menyanyi. Sampai sekarang saya masih lagi berniaga kedai makan dan bukan lagi berniaga di online. Saya upgrade sikit, dari berniaga online saya sudah jadi pemborong pijama yang diambil dari China.

Terharu kerana Dadali memilihnya untuk sertai konsert mereka pada 5 Julai ini.

“Saya berurusan terus dengan kilang di sana, saya tak bayar satu sen langsung, bila barang sampai sini baru saya bayar. Mereka percaya kita macam tu sekali. Alhamdulillah, bisnes sebagai pemborong pijama berjalan lancar,” katanya yang selesa melakukan bisnes dan menyanyi.

Jelas Ronnie, selepas keluar GV, dia ada mendapat tawaran untuk merakam lagu tapi buat masa sekarang masih memilih. Insya-Allah, katanya, mengikut perancangan tahun ini dia akan keluarkan single baharu, selewat-lewatnya hujung tahun.

“Terakhir saya keluarkan single “Benar Aku Cinta” sebelum masuk GV bulan 10 tahun lalu. Lagu itu untuk ost drama ‘Lara Kasih’ dan saya waktu nak promosi lagu itu saya sudah berada dalam GV dan terbantut. Saya tunggu juga kalau ada peluang untuk promosi balik lagu itu,” katanya penuh harapan.

Untuk konsert Dadali nanti, Ronnie akan berduet dengan Dyrga.

Artis undangan konsert Dadali, 5 Julai ini

Sifatnya yang mudah mesra dengan orang sekeliling membuatkan Ronnie disenangi oleh Dyrga, vokalis kumpulan Dadali yang merupakan salah seorang peserta GV11.

Justeru itu, untuk konsert eksklusif bertajuk ‘Sebuah Kisah Volume 1’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu, 5 Julai 2025, bermula 9 malam hingga 11 malam, nama Ronnie menjadi pilihan pertama Dyrga.

“Dalam GV, saya baik dengan semua orang. Mungkin di situ mereka nampak saya mudah bergaul. Itu juga salah satu sebab Dyrga ajak saya sertai konsertnya mungkin dari GV lagi dia dah tahu yang saya ni mudah berkawan.

Kelab peminat yang sentiasa menyokong Ronnie setiap minggu sewaktu menyertai GV11.

“Sewaktu dia tanya saya, mahu tak sertai konsert Dadali, tanpa fikir lama, saya terus kata okey. Saya senang bekerja dan bergaul dengan dia serta kami pernah berduet dalam GV. Saya rasa tone suara dan genre lagu saya tak berapa jauh daripada Dyrga, jadi saya setuju terus. Kalau band rock saya fikir dua tiga kali juga sebab saya penyanyi balada.

“Alhamdulillah, mungkin dia senang dengan saya dan nama artis pertama Malaysia yang dia sebut adalah nama saya. Dia selesa dengan saya dan saya pun senang bekerja dengan dia jadi mudah untuk kami bekerjasama.

“Untuk konsert saya akan nyanyi lagu sendiri dua lagu dan satu berduet dengan Dyrga. Tiga hari sebelum konsert, Dryga akan datang ke Kuala Lumpur, kita akan buat latihan selama dua hari sebelum konsert,” katanya yang bakal menunaikan umrah pada 15 – 26 Oktober ini bersama dengan Kopetro Travel.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here