Lagu "Puaskah" gandingan Ameerais dan Mariam dijadikan runut bunyi untuk drama 'Bukan Ipar Sempurna'.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA sebelum ini Ameerais berkolaborasi dengan anggota kumpulan Forteen, namun untuk single “Puaskah” pasangannya adalah Mariam, peserta Top 5 rancangan realiti Calpis Soda One in a Million.

Ameerais atau nama sebenarnya Mohamad Arif Ameerais Azhar yang kini bergerak solo pernah mencuba bakat dalam pertandingan Calpis Soda One in a Million dan Gimme The Mic dan pernah mengeluarkan single solo berjudul “Selalu” sebelum ini.

Lagu “Puaskah” dendangan Ameerais dan Mariam adalah ciptaan Iqie Hugh dan Shazriq.

Meskipun pertemuan Ameerais dengan Mariam dalam penghasilan lagu “Puaskah” diatur oleh pihak label, Alternate Records & Talents, namun mereka dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan begitu baik.

Ameerais menyifatkan Mariam sebagai rakan duet yang bersikap merendah diri itu mudah untuk bekerjasama dan amat bersemangat dalam berkarya.

Lagu “Puaskah” ciptaan Iqie Hugh dan Shazriq yang berentak balada pop ini hadir dengan naratif yang menyentuh jiwa, mengangkat kisah dua individu yang terperangkap antara janji yang pernah dilafazkan dan realiti yang terpaksa diterima.

Sewaktu pembikinan video muzik untuk lagu “Puaskah”.

“Keunikan “Puaskah” terserlah menerusi struktur liriknya yang seolah-olah memperdengarkan dialog antara dua insan yang pernah saling menyayangi. Mereka saling menyoal dan menyalahkan, namun dalam diam masih menyimpan harapan yang tidak sempat diungkapkan.

“Melodi yang mudah diingati serta susunan muzik yang dramatik memberi kekuatan komersial kepada lagu ini, menjadikannya sesuai untuk pasaran arus perdana mahupun peminat muzik balada yang lebih mendalam,” kata Ameerais.

Dulu Ameerais bersama kumpulan Forteen, kini berkarya secara solo.

Tambahnya, proses penghasilan lagu ini turut menjadi pengalaman yang bermakna buat dirinya dan Mariam. Rakaman vokal diselesaikan dalam masa kira-kira empat jam, dan keseluruhan proses berlangsung dengan begitu teratur dan lancar.

“Komposer serta penulis lirik turut memberi input membina dan ruang untuk saya dan Mariam mengekspresikan karakter vokal masing-masing secara jujur.

“Mereka tekankan karakter penyanyi itu sendiri, bukan sekadar teknikal vokal. Itu yang buat lagu ini rasa sangat peribadi dan istimewa,” kongsi Ameerais, sambil merakamkan penghargaan kepada guru vokalnya, Cikgu Azrin Noor.

Meskipun pertama kali bergandingan, Ameerais dan Mariam dapat melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

Lebih daripada sekadar kisah cinta yang gagal, “Puaskah” menyentuh tema pengkhianatan, kesedihan, penyesalan dan penerimaan takdir.

Lagu ini mengajak pendengar menyelami perjalanan emosi dua insan yang masing-masing menyimpan luka, namun perlahan-lahan belajar untuk melepaskan pada akhirnya.

“Puaskah” yang dipilih menjadi runut bunyi untuk drama ‘Bukan Ipar Sempurna’ itu boleh didengari di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here