Disebabkan keistimewaan yang dimilikki dalam pelbagai bidang seni selain berlakon ketika masih di pentas bangsawan, Minah Yem diberi gelaran ‘The Shirley Temple of Malaya.’

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

KALAU sebut nama Menah Mohd Pendek mungkin tidak ramai yang mengenalinya tetapi jika ditanya kenalkah anda dengan Minah Yem? Pastinya para peminat filem Melayu pada era 1950-an sehingga 1980-an mengenali Seniwati hebat ini.

Sebenarnya Minah Yem, bukan calang-calang Seniwati. Meskipun sepanjang 21 tahun bergelar Seniwati (1953 – 1972) beliau hanya membintangi 19 filem diikuti tiga filem lagi iaitu “Anak Sulung Tujuh Keterunan” dan “Raja Laut”(1982) dan yang terakhir “Di Ambang Kasih” (1984), namun kehadirannya dengan watak ikonik sebagai Labu, emak kepada Bawang Merah (Seniwati Latifah Omar) dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah” telah meletakkan beliau di tempat istimewa di hati para peminat filem Melayu ketika itu sebagai seorang seniwati yang versatile.

Ketika zaman remaja Minah Yem pernah terlibat dan berbakat dalam tarian “belet.
Watak Minah Yem sebagai Labu iaitu ibu kepada Bawang Puteh lakonan seniwati legenda Latifah Omar begitu diigati sehingga kini.

Betapa tidak, sebagai Labu isteri pertama kepada Pak Ali (Seniman Shariff Medan) dengan isteri muda, Kundor (Seniwati Siti Tanjung Perak) emak kepada Bawang Puteh (Seniwati Umi Kalthum), Labu dan anaknya, Bawang Merah, sering dibuli oleh Kundor yang cemburukan kedudukan Labu sebagai isteri pertama.

Kehidupan Labu dan anaknya, Bawang Merah terseksa setelah kematian Pak Ali kerana disengat seekor ikan sembilang, apabila Kundor dan Bawang Puteh memaksa Labu dan Bawang Merah membuat semua kerja rumah.

Mineh Yem dalam satu babak bergaduh dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah”
Antara babak dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah”

Kekejaman Kundor semakin menggila apabila beliau sanggup membunuh Labu di dalam sebuah perigi di belakang rumah mereka apabila Pak Mat (Seniman Puteh Lawak) menolak cintanya.

Akhirnya Labu mati menjadi ikan kaloi. Kisah Labu menjadi ikan kaloi bukan sahaja diminati para penggemar filem Melayu ketika itu, malah ia telah membuatkan Minah Yem dikenali dan diminati.

Minah Yem juga terlibat dlam filem “Bujang Lapok”.
MINAH Yem bersama Nyong Ismail sebagai suami isteri dalam satu babak dari filem “Bujang Lapok.”

Sebelum dikenali kerana muncul sebagai ikan kaloi, watak Minah Yem sebagai isteri Pak Nyong (Seniman Nyong Ismail) benar-benar membuatkan nama Minah Yem menjadi sebutan begitu juga Nyong Ismail.

Sebabnya “Bujang Lapok” arahan P. Ramlee terbitan Shaw Brothers pada tahun 1957, babak pertengkaran antara Pak Nyong dengan isterinya (Minah Yem) yang melahirkan rasa terkilan setelah anak berderet suaminya masih tidak mampu membelikan seurat emas malah hutang ceti masih tidak selesai.

SATU babak dari filem “Jalak Lenteng” dengan pelakon utamanya…
(Duduk dua dari kiri) Seniwati Latifah Omar, Rahmah Ali dan Fatimah Ahmad.
Dayang-dayang…(berdiri depan)…Minah Yem, Aini Jasmin, Siti Tanjung Perak dan Mak Dara menyanyikan lagu “Mak Inang.”
Minah Yem & seniwati Zaiton dalam filem “Taufan” 1957.

Walaupun Minah Yem muncul sebagai ‘cameo’ namun satu babak dari filem “Bujang Lapok” membuatkan para peminat filem Melayu ingat akan Minah Yem!

Begitulah hebatnya, Seniwati Minah Yem pelakon filem, penari bangsawan era 1950-an hingga 1980-an dan isteri kepada pelakon filem Melayu, Yem Jaafar.

Minah Yem memulakan karier seninya di pentas bangsawan bersama Grand Noran Opera dibawah pimpinan Seniman Ibrahim Jaafar atau dikenali Yem pada awal 1920-an. Di pentas bangsawanlah beliau bertemu jodoh dengan Yem Jaafar.

MINAH Yem turut berlakon dalam filem “Yatim Mustapha” dengan bintang utama Nordin Ahmad, Ummi Kalthoum, Siput Sarawak, Abdullah Chik, Salmah Ahmad, Shariff Medan, Yem, Rosenani, Mariani, Mat Sentul, Aman Belon, Habibah Harun dan A. Bakar Yem.
Filem terbitan Cathay-Filem pada tahun 1961 diarahkan oleh B.N Rao.
MINAH Yem (tengah), Seniwati Siti Tanjung Perak dalam sebuah filem.

Mungkin ada yang tertanya-tanya peluang yang diterima Minah Yem dalam dunia seni. Tetapi sesuatu yang tidak boleh dinafikan memiliki tubuh yang comel, berperwatakan yang suka berjenaka membuatkan beliau dikenali sebagai Minah Ketot sehingga terbitnya filem “Si Ketot” pada awal 1960-an.

Disebabkan keistimewaan yang dimilikki dalam pelbagai bidang seni selain berlakon ketika masih di pentas bangsawan, Minah Yem diberi gelaran ‘The Shirley Temple of Malaya.’

MINAH Yem bersama Biduanita Rafeah Buang.
P. RAMLEE (tiga dari kanan) bersama Minah Yem, AR Tompel dan Ibrahim Din.

Dari dunia bangsawan, Minah Yem melangkah selangkah lagi dalam bidang seni dengan menceburi dunia filem. Filem pertama lakonan beliau adalah “Buloh Perindu” arahan B. S Rajhans (1953) terbitan Shaw Brothers.

Disebabkan kehadirannya ke dunia filem ketika usianya sudah mencecah 37 tahun, kebanyakan watak yang diberi kepadanya hanyalah sebagai pereka tari untuk filem-filem Melayu lama, dayang, mak bidan, penari dan pereka tari, pelawak dan nenek kebayan. Malah beliau juga pernah dilantik sebagai jurulatih kumpulan penari diraja.

Minah Yem seniwati berbakat besar.

Minah Yem adalah diantara seniwati yang pernah berlakon untuk empat buah studio iaitu Keris Films, Malay Film Productions (Shaw Brothers), Cathay Keris dan Studio Merdeka dengan para pelakon seangkatan beliau antaranya Udo Omar, M. Suki, Ahmad Nisfu, M. Babjan, Aman Belon, Mahmud June, Habsah Buang dan Mak Enon.

Melalui perkahwinan Minah Yem dengan Seniman Yem Ibrahim, pasangan ini meninggalkan legasi yang besar dalam industri seni dan bakat mereka diwarisi enam orang anak mereka iaitu Yusof Yem, Norsiah Yem, Bibi Yem, Cinta Yem, Kudud Yem dan Jambul Yem.

SENIMAN Ibrahim Jaafar atau lebih dikenali Yem Jaafar merupakan suami Minah Yem.
SENIMAN Ibrahim Jaafar atau lebih dikenali Pak Yem merupakan suami Minah Yem, beliau adalah hero pertama dalam filem Melayu.

Beliau dikurniakan 25 cucu dan lapan orang cicit dan antara cicit beliau yang aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian ialah Ebby Saiful, Eddy Ali dan Eddy Nor Ali.

Menurut sahabat seperjuangan, Seniman Mahmud June, sebelum menghembuskan nafas terakhir, Minah Yem dimasukkan ke hospital selama seminggu setelah terjatuh hingga menyebabkan separuh badannya lumpuh.

KELUARGA besar…Seniwati Minah Yem (duduk kanan) dan Norsiah Yem (duduk kiri) memangku Ebby Saiful dan Seniman Yem Jaafar ( berdiri tiga dari kiri).
NORSIAH Yem yang merupakan anak Minah Yem yang mengikut jejak beliau sebagai anak seni bergambar bersama suami, Ali Ahmad.

Minah Yem meninggal dunia pada usia 72 tahun pada 9.45 malam, 29 Oktober 1988 di Hospital Besar, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham Seniwati Minah Yem disemadikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Minah Yem terus dikenang sebagai insan seni yang pernah mewarnai industri filem tanah air.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati Minah Yem sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

Previous articleAnak-anak Rosnah Mohd Noor teruskan legasi ibunya!
Next articleJangan Riak!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here