Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Koleksi Syed Wafa
Mungkin bagi generasi baru tidak begitu mengenali nama Allahyarham Rosnah Mohd Noor. Allahyarham Rosnah Mohd Noor merupakan pelakon filem dan drama Melayu era 80-an yang juga merupakan ibu kepada pelakon Wan Syamira Putri Octovia lebih dikenali sebagai Octovia Manrose, dan Wan Syahera Putri Aprena atau mesra dipanggil Aprena Manrose.
Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah anak-anak pelakon popular dan produser terkenal Rosnah Mohd Noor yang kini meneruskan legasi ibunya berbanding bapa mereka iaitu penyanyi Iwan dangdut dan kini banyak menjalani aktiviti dakwah bersama kumpulannya dan menghasilkan lagu-lagu berbentuk ketuhanan.


Rosnah yang berketurunan Siam dilahirkan pada 8 Mei 1959 di Kampung Bukit Aabal, Selising, Pasir Puteh, Kelantan. Rosnah juga merupakan ibu saudara (adik beradik sebelah ibu) kepada model dan pelakon Uqasha Senrose, Nelydia Senrose, dan Raysha Rizrose.
Rosnah mula menceburi bidang lakonan pada tahun 1982 ketika membintangi filem Ribut Di Hujung Senja bersama Allahyarham Ed Osmera dan Gaya Zakry. Meskipun dalam filem sulung lakonannya itu, Rosnah memegang watak pembantu namun popularitinya melonjak dalam sekelip mata, kerana ramai peminat yang menyangka dia sebagai Rosnah Abdul Rahman, seorang lagi pelakon popular.


Filem Ribut Di Hujung Senja telah memperkenalkan Rosnah dalam dunia perfileman, namun lakonannya dalam filem Di Ambang Kasih terbitan 1984 merupakan filem yang paling diingati ramai. Filem tersebut menampilkan Rosnah sebagai Ayu yang terpaksa mengahwini Yusof Haslam, abang iparnya benar-benar meruntun hari dan jiwa seorang wanita bergelar isteri.
Lakonan beliau dalam filem tersebut telah membuatkan nama Rosnah terus meniti di bibir peminat sehingga memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-5 (FFM5- 1984) dan Hantu Siang (FFM6) pada tahun 1986. Filem itu bukan sahaja menjadi titik tolak nama Rosnah terus kukuh di persada seni tanah air malah ia juga menjadi rebutan penerbit filem dan drama.


Lakonan mantap Rosnah, anak ketiga daripada 9 orang adik –beradik dalam filem komedi, Aku Yang Berhormat (1983) bawah arahan Raja Ismail, nama Rosnah terus mendapat perhatian peminat dan wartawan hiburan yang mengejarnya dan wajahnya sering dijadikan muka depan majalah-majalah hiburan.
Malahan banyak juga tawaran berlakon termasuk produksi filem dari Indonesia dalam filem Gadis Hitam Putih (1985). Antara filem lakonannya Esok Untuk Siapa (1982), Aku Yang Berhormat (1983) dan Hantu Siang (1986).
Sementara itu menurut anaknya, Aprena Manrose, ibunya adalah seorang yang kuat dan tabah.


“Dalam sakit pun ibu saya tetap bekerja untuk mencari rezeki bagi kami adik beradik yang lain termasuk membiayai pengajian saya di kolej. Hingga kini saya masih terasa ralat kerana ibu tidak sempat merasa dan berkongsi rezeki yang saya nikmati sekarang ini.”
Sementara Sentuhan Kasih dan Jauh Dikenang, Dekat Disayang merupakan antara dua drama RTM arahan Allahyarham Roslee Jalil yang membuatkan Rosnah terus mendapat perhatian daripada para peminatnya.


Rosnah kemudiannya menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu RMN Production Sdn. Bhd., pada tahun 1988 apabila menyedari peluang menerbitkan drama untuk TV semakin terbuka. Sebaik menceburi bidang penerbitan, Rosnah mengambil keputusan berhenti berlakon kerana mahu memberi tumpuan pada RMN.
Racun Bulan Madu untuk slot Cerekarama arahan Datuk Aziz Sattar bukan sahaja menjadi drama pertama terbitan syarikatnya malah ia juga menjadi drama pertama lakonan Rosnah dan suaminya ketika itu, penyanyi Iwan.


“Setelah berkahwin pada Disember 1988, syarikat saya menerbitkan drama itu dan apabila menyedari Iwan minat berlakon, Aziz Sattar memberi ruang kepadanya berlakon. Itulah drama pertama dan terakhir kami berlakon berdua,” cerita Rosnah sambil ketawa.
Apabila negara dilanda gawat pada tahun 1997, RMN terus menyerikan diri dan Rosnah menumpukan perhatian pada perniagaan lain. Selepas berpisah dengan suami pertamanya, Iwan pada 1996, Rosnah mendirikan perkahwinan keduanya pada tahun 1998 dengan Kazmin Kuzi dan berpisah pada 2011.

Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan (Wan Syahman Wan Yunus), beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, Wan Syamira Putri Octovia, dan Wan Syahera Putri Aprena.
Rosnah pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya sebelum ini. Beliau sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu, sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 4 Ogos 2013, pukul 2:55 petang ketika berusia 54 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.