Oleh : Asmat Fikri
Katarak perlu dibuang sekiranya kekurangan penglihatan menjejaskan aktiviti harian pesakit seperti memandu, membaca atau menonton TV.
Di peringkat awal katarak, penangguhan pembedahan tidak akan menyebabkan kerosakan jangka panjang pada mata atau membuatkan pembedahan menjadi sukar.
Ada juga keadaan di mana pesakit dinasihatkan untuk menjalani pembedahan katarak untuk memudahkan beliau menjalani pemeriksaan dan rawatan yang memerlukan media yang lutsinar, seperti kes-kes glaukoma, uveitis, rawatan laser dan saringan retinopati kencing manis.
Katarak yang belum matang hanya perlu dibedah sekiranya ia mengganggu aktiviti harian. Walaubagaimanapun, katarak yang sudah matang perlu dibedah secepat mungkin sebelum terjadinya komplikasi-komplikasi seperti glaukoma atau radang mata yang berlaku akibat katarak yang terlalu matang. Keadaan ini boleh menyebabkan kebutaan kekal (tidak boleh dipulihkan).
Rawatan katarak
Sekiranya sedikit sahaja penglihatan terjejas, pembedahan tidak perlu dilakukan. Kadangkala dengan hanya menukar preskripsi cermin mata , ia sudah dapat membantu pesakit melihat dengan lebih baik untuk sementara waktu. Sehingga hari ini, tiada ubat-ubatan, ubat titis mata, senaman atau cermin mata yang boleh mengubati katarak. Hanya pembedahan sahaja yang boleh merawat katarak. Usah terpedaya dengan janji manis penjual ubat-ubatan di media sosial.
Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang berselaput dikeluarkan dari mata . Dalam kebanyakan kes, kanta yang asli ini akan digantikan dengan kanta implan intraokular (IOL) yang kekal.

Apakah kaedah-kaedah pembedahan katarak?
Pembedahan katarak kini telah mencapai tahap kejayaan 95% iaitu hampir semua pesakit yang menjalani pembedahan tidak mengalami apa-apa komplikasi.
Terdapat dua jenis pembedahan iaitu:
1. ECCE : Extra Capsular Cataract Extraction. Cara ini adalah cara konvensional dan digunakan untuk pesakit yang tidak sesuai untuk menjalani phacoemulfisication contohnya katarak sudah terlalu keras. Pembedahan ini memerlukan sebanyak 4 hingga 5 jahitan dan ia perlu dibuang selepas 6 minggu. Recovery atau pemulihan akan mengambil masa yang lebih panjang berbanding cara moden. Selepas menjalaninya, pesakit boleh mendapat penglihatan mata yang jelas.
2. Phacoemulsification – Ringkas dan selamat, mengambil masa 20 minit sahaja. Pembedahan ini dijalankan dalam keadaan pesakit sedar, ubat bius akan diberikan pada kawasan mata sahaja. Insisi atau potongan pada kornea sebesar 2.2mm akan dibuat. Pembedahan dilakukan dibawah kuasa mikroskop canggih. Sebuah alat atau mesin khas iaitu phacoemulsification akan digunakan untuk mencairkan kanta dengan menggunakan kuasa ultrasound dan kemudian kanta tiruan akan diletakkan di dalam beg di dalam mata pesakit. Pemulihan adalah lebih pantas, iaitu dalam masa 2 minggu sahaja. Biasanya tiada jahitan akan dibuat.
Penjagaan selepas pembedahan
Penjagaan selepas pembedahan katarak adalah sangat penting untuk memastikan pemulihan yang cepat dan efektif serta mengurangkan risiko komplikasi.
1. Menghindari Infeksi: Salah satu risiko terbesar selepas pembedahan adalah infeksi. Mematuhi arahan doktor tentang penjagaan mata seperti menggunakan ubat titisan mata yang diberikan, menjaga kebersihan tangan dan mengelakkan menggosok mata bagi mencegah infeksi.
2. Memastikan Penyembuhan yang Baik: Mata perlu masa untuk pulih sepenuhnya setelah pembedahan. Mengikuti semua arahan penjagaan selepas pembedahan membantu memastikan bahawa mata sembuh dengan baik dan penglihatan membaik sebagaimana mestinya.
3. Mengelakkan Komplikasi: Komplikasi seperti pembengkakkan, pendarahan atau peningkatan tekanan dalam mata boleh terjadi setelah pembedahan. Pemantauan rutin dan pemeriksaan selepas pembedahan dapat mengidentifikasi masalah ini dari awal dan boleh mengatasinya sebelum menjadi lebih serius.
Selain itu, ini antara penjagaan yang boleh dilakukan selepas melakukan pembedahan yang dikongsi oleh Hello Doktor.
• Pelindung mata: Sila gunakan pelindung mata untuk memberikan perlindungan semasa anda tidur. Anda juga mungkin boleh menggunakan cermin mata gelap pada waktu siang.
• Mencuci muka: Pembersihan mata harus dilakukan mengikut arahan yang diberikan oleh doktor. Selebihnya wajah boleh dilap dengan kain bersih dan basah. Elakkan daripada terpercikkan air ke mata yang dibedah.
• Mencukur: Mencukur dibenarkan, tetapi elakkan bilas dengan air selepas bercukur. Sebaliknya, lapkan dengan kain basah.
• Anda boleh meneruskan kehidupan seksual anda 1 atau 2 minggu selepas pembedahan.
• Sekiranya anda mengalami sebarang komplikasi dan khususnya jika terdapat kemerahan, kesakitan atau gangguan penglihatan, segera laporkan kepada doktor anda.
• Ketahui perkara-perkara yang harus pesakit pasca pembedahan mata elakkan bagi mendapatkan hasil proses penyembuhan yang terbaik.
• Jangan gosok mata kerana ia berpotensi untuk menyebabkan jangkitan kuman!
• Jangan angkat berat, badan anda masih memerlukan rehat yang secukupnya. Elakkan daripada melakukan aktiviti fizikal yang berat.
• Elakkan menerima kunjungan tetamu yang ramai kerana takut boleh mendapat jangkitan, terutamanya daripada tetamu yang mempunyai konjunktivitis, selesema dan lain-lain.
• Jangan bermain dengan kanak-kanak kerana ada kemungkinan luka boleh terjadi pada mata.
• Elakkan penggunaan tembakau. Merokok harus dielakkan.
• Minuman beralkohol sebaiknya dielakkan sehingga benar-benar sembuh.
• Elakkan menggunakan sapu tangan untuk membersihkan mata. Gunakan tisu yang disteril sahaja.
• Memandu: Elakkan memandu sehingga pakar bedah anda memberi kebenaran.
• Penggunaan kosmetik muka: Elakkan penggunaan makeup pada mata seperti maskara, penggaris mata dan lain-lain, sekurang-kurangnya 4 minggu.
• Mandi: Anda boleh mandi dari leher ke bawah selepas pembedahan, elakkan mandi daripada arah kepala selama 3 hingga 4 minggu.
• Aktiviti fizikal: Aktiviti seperti berjalan, bercakap, menonton TV boleh dilakukan selepas pembedahan. Namun, berjoging, berenang, berkebun dan lain-lain mungkin harus dielakkan selama 4 hingga 6 minggu selepas pembedahan.
Penutup
Pastikan kita semua dapat menjaga kesihatan mata dengan baik. Ini kerana, deria penglihatan adalah salah satu deria yang paling penting untuk kita. Sekiranya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan mata, segeralah berjumpa doktor pakar mata.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.