Oleh: Khadijah Ibrahim
HANYA dengan membayar RM50, peminat muzik tempatan berpeluang menonton persembahan pelbagai artis tanah air sempena Festival Music OOO 2025! yang bakal berlangsung di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai ini.
Antara artis yang bakal menjayakan Festival Muzik OOO 2025! anjuran OPPO bersama Warner Music Malaysia itu adalah Noh Salleh, Masdo, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, Tuju, Naki, emptypage., Iman Troye, Fugo, Jo Vynn, Priscilla Abby, dan Steadygang.
Festival yang bermula pada jam 6 petang hingga 11.30 malam itu sebenarnya menyatukan gabungan hebat muzik pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam yang pasti tidak akan dilupakan oleh mereka yang hadir nanti.
Bagi Masdo, pastinya mereka bertiga teruja untuk melakukan persembahan sementelah konsert ini akan menjadi lokasi ‘panas badan’ sebelum melakukan konsert sendiri berskala besar tidak lama lagi.
“Sebenarnya ada yang menarik perhatian kami untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025! memandangkan barisan penyanyi yang terlibat juga hebat dan mempunyai pengaruh di dalam industri. Rugi sekiranya kami tidak turut serta untuk bersama-sama mereka menghiburkan peminat.

“Kami anggap ini merupakan acara ‘panas badan’ sebelum berperang dengan konsert sendiri pada 30 Ogos depan sempena satu dekad penglibatan kami di dalam industri. Insya-Allah ada sesuatu yang menarik akan kami umumkan kepada semua peminat yang hadir nanti,” kata Ali mewakili Ceri dan Mawi.
Menariknya, festival ini juga bukan sekadar acara hiburan tetapi menandakan pelancaran rasmi siri baharu OPPO Reno, yang menggabungkan muzik, gaya hidup dan teknologi terkini dalam satu sambutan dinamik.
Bagi Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, pula berkata pihaknya teruja untuk bersama-sama peminat menjayakan festival yang julung-julang kali diadakan bagi menghargai bakat barisan penyanyi yang terlibat.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakan festival yang unik ini, yang mengetengahkan bakat luar biasa yang kita miliki di Malaysia.
“Festival Muzik OOO 2025! bukan sekadar konsert, ia adalah satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi,” tambah Brian lagi.
Festival ini bukan sahaja menampilkan muzik bertaraf dunia, malah pelbagai sudut pengalaman menarik termasuk gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat.
Menambah lagi keterujaan, OPPO baru-baru ini telah bekerjasama dengan Proton e.MAS untuk sebuah siri kandungan digital khas berjudul ‘Roda Karaoke’, iaitu video karaoke gaya carpool yang menampilkan artis-artis festival seperti Bunga, Masdo, Noh Salleh dan Fugo.
Siri yang menyeronokkan dan menghiburkan ini memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan artis kegemaran mereka sambil menyerlahkan model kenderaan terkini daripada Proton e.MAS. Para pengunjung juga berpeluang melawat booth pameran Proton e.MAS di festival tersebut untuk melihat kereta itu secara lebih dekat.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.