Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA anda hadir ke konsert Hype Republic yang akan diadakan pada 13 Disember ini di Stadium Hoki Bukit Jalil, anda berpeluang mendengar pelbagai rentak muzik.
Ini kerana konsert sulung anjuran DM Diamond Sdn. Bhd. itu menghimpunkan pelbagai genre muzik popular dan kontemporari seperti EDM, hip-hop, pop, K-Pop, J-Pop, Alt-Indie dan lain-lain, sekali gus menjadikan ia sebuah platform yang menyatukan cita rasa muzik berbeza dalam satu malam.

Dengan gabungan genre yang pelbagai, Hype Republic turut menjadi sebuah “one-stop center” untuk para pencinta muzik. Penonton bukan sahaja dapat menikmati persembahan artis kegemaran mereka, tetapi juga berpeluang meneroka dan mengalami genre muzik baharu yang mungkin belum pernah mereka alami secara langsung.
Antara penyanyi yang bakal terlibat dalam Konsert Hype Republic terdiri daripada Kmy Kmo & Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Bunga, Zubir Khan, K.O.I dan seorang lagi penyanyi yang belum didedahkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond, Isa A. Rani, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan nama-nama besar yang sudi berganding bahu menghiburkan peminat dalam konsert tersebut.
“Ada banyak perancangan telah disusun untuk memberikan kelainan kepada Konsert Hype Republic. Selain menjanjikan persembahan bertenaga daripada mereka, ada juga hadiah menarik yang akan diberikan kepada pembeli tiket.

“Kami memilih mereka (penyanyi) berdasarkan pencapaian dan populariti semasa. Semua nama-nama yang ada dikenali oleh generasi baharu dan kita percaya gabungan ini mampu menarik lebih ramai peminat untuk hadir.
“Menariknya, kita juga akan memberikan potongan harga tiket sebanyak 20 peratus selama sebulan kepada peminat bermula 14 Jun ini,” kata Isa dalam satu sidang media yang berlangsung di Hotel St. Giles Boulovard baru-baru ini.


Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.