Hael janji akan memberikan persembahan yang bakal meninggalkan momen terindah buat yang hadir menonton persembahannya nanti.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini penyanyi Hael Husaini telah menghibur kira-kira 300 peminatnya di Nero Event Space, PJPAC 1 Utama, Petaling Jaya pada 31 Mei lalu menerusi showcase, ‘Hael Husaini Antonm Night’, kini penyanyi lagu “Jampi” itu bakal mengadakan persembahan berskala besar lagi.

Kali ini impian yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan bakal direalisasikan menerusi konsert solo pertamanya ‘Hael Husaini & Repertoire’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.

Konsert ‘Hael Husaini & Repertoire’ menjanjikan satu malam yang bukan sekadar konsert tetapi sebuah pengalaman seni, fesyen dan emosi yang pasti menjadi sejarah muzik tanah air.

Bintang Rocketfuel Entertainment yang dikenali sebagai ikon muzik, juara anugerah dan juga duta fesyen antarabangsa itu mahu menjadikan konsert tersebut sebagai malam istimewa buat semua.

Selain menyanyi Hael adalah seorang komposer yang aktif mencipta lagu untuk penyanyi lain.

“Konsert Hael Husaini & Repertoire” bukan sahaja akan menyajikan rangkaian lagu- lagu popular saya dari dulu hingga kini, tetapi juga akan menampilkan susunan muzik baharu, persembahan visual sinematik, segmen artis jemputan, dan tentu sekali, peragaan fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi estetik saya sendiri.

“Saya ingin peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu, tetapi untuk merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya, dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar dari muzik, visual, hingga ke fesyen. Saya mahu mereka keluar dari Zepp dengan perasaan terinspirasi, puas dan bangga menjadi sebahagian daripada malam itu nanti,” kata Hael penuh semangat.

Tambahnya, pada malam bersejarah itu kelak, bukan dia sahaja yang bakal menghibur penonton yang hadir, malah rakan artis seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera Zaini, Wany Hasrita dan Nabila Razali juga akan turut serta.

“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami. Dia bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi, tetapi juga seorang sahabat sejati. Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama mereka berdua. Lebih ramai lebih meriah, jadi saya turut menjemput dua lagi rakan artis iaitu Wany Hasrita dan Nabila Razali untuk turut serta,” ujar Hael penuh makna.

Untuk konsert solo pertamanya kelak, Hael Husaini bakal didampingi oleh empat penyanyi wanita.

Pasti ramai sedia maklum, sejak menjejakkan kaki ke industri seni, Hael bukan sahaja mengukir nama sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) dua tahun berturut-turut dengan lagu-lagu ikonik seperti “Jampi” dan “Haram” (duet bersama Dayang Nurfaizah), tetapi juga telah mengubah landskap muzik tempatan dengan sentuhan kreatifnya sebagai pencipta lagu untuk artis-artis terkemuka.

Antara karya agungnya adalah “Anta Permana” nyanyian Datuk Sri Siti Nurhaliza yang bukan sahaja menjadi kegemaran rakyat Malaysia, tetapi turut mendapat penghormatan luar biasa apabila dipilih oleh HRH King Charles III untuk playlist rasmi diraja “The King’s Music Room” di Apple Music.

“Apabila saya diberitahu lagu yang saya cipta berada dalam playlist rasmi King Charles, saya terdiam. Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” kata Hael terharu.

Malah pada tahu lalu, dia turut mencipta sejarah apabila lagu “Diam” yang merupakan runut bunyi bagi sebuah drama tempatan diumumkan sebagai “Best Theme Song” di Asian Academy Creative Awards (AACA) yang berlangsung di Singapura.

Di samping itu, persona dan gayanya yang berani serta sofistikated membawanya ke pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025, memperagakan jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri, Emporio Armani dan Kenzo sambil bergaul dengan selebriti antarabangsa di barisan hadapan pertunjukan fesyen eksklusif.

“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer, tetapi sebagai penggiat seni yang mewakili Malaysia dengan penuh gaya di mana-mana pentas saya berdiri,” jelasnya.

Tiket untuk Konsert Hael Husaini & Repertoire yang dijual pada harga RM120 hingga ke RM588 boleh dibeli di laman sesawang #Ticket2U

Previous article“Basstamam” bawa tuah kepada Syed Iqbal
Next articleAsyik-asyik tudung yang disebut-sebut! (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here