Tomok tampil dengan single "Larut".

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIAP kali menonton drama ‘Aku Bukan Ustazah 2’, penonton pasti mendengar lagu “Larut” yang merupakan runut bunyi untuk karya arahan Idora Abdul Rahman itu.

Lagu “Larut” untuk drama lakonan Erysha Emyra dan MK K-Clique itu adalah dendangan Tomok yang merupakan ciptaan bersama trio komposer dan penulis lirik berbakat besar, A.R.T, Fai dan Amylea.

“Larut” sebuah karya yang sarat emosi dinamik dan penuh jiwa yang menampilkan sisi paling matang dan jujur dalam karier seni Tomok selepas beberapa ketika menyepi dari melancarkan karya baharu.

Lagu “Larut” nyanyian Tomok merupakan runut bunyi untuk drama ‘Aku Bukan Ustazah 2’.

Dengan sentuhan pop rock yang segar dan lirik yang menyentuh, lagu ini bukan sekadar buah tangan biasa. Diterbitkan di bawah label Alternate Records, “Larut” bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi manifestasi kematangan seni seorang artis yang telah mengharungi pelbagai fasa dalam industri hiburan.

“Larut” merupakan single kelima Tomok bersama Alternate Records dan menandakan sebuah kemunculan semula yang sangat dinanti-nantikan oleh para peminat. Bagi Tomok sendiri, “Larut” adalah sebuah karya yang dekat dengan jiwa.

“Lagu ni ada emosi yang saya sendiri rasa dalam dan kuat. Saya harap peminat semua akan dengar dan hayati lagu ini seperti mana saya hayatinya ketika merakamkan.

“Larut” menceritakan tentang seorang lelaki yang menyimpan cinta terhadap seseorang yang tidak mungkin menjadi miliknya. Namun dalam hatinya, dia tetap ingin “melarutkan” dirinya dalam angan-angan seolah cinta itu benar-benar wujud,” katanya.

Tomok senang bekerjasama dengan Amylea, A.R.T dan Fai yang mencipta lagu “Larut”.

Tomok juga menyatakan harapannya agar dapat bekerjasama lagi dengan team komposer ini kerana mereka sangat memahami proses menghasilkan lagu berkualiti.

Dengan susunan muzik oleh Bajai, disokong oleh strings, gitar dan bass mantap daripada pemuzik-pemuzik berbakat, serta mixing mastering oleh Huzai, “Larut” membawa aura segar dan emosional dalam genre pop rock yang tidak klise.

Sementara itu, Amylea memberitahu lagu tersebut sebenarnya berasal dari dua lagu berbeza yang ditulis 17 tahun lalu, namun melalui “pembedahan major” yang dilakukannya dari susunan muzik, melodi hingga ke lirik dan akhirnya lahirlah satu karya baharu yang begitu indah dan menyentuh jiwa.

“Saya satukan dua lagu, ubah keseluruhan flow, dan sesuaikan untuk suara dan gaya Tomok. Saya mahu lagu ini ada karakter dia sendiri iaitu balada yang dibalut elemen pop rock yang segar.

“Tomok sangat komited, sangat mudah bekerja dengannya. Proses ini memang cepat kerana kami kejar tarikh akhir masa bulan puasa, tapi hasilnya tetap berkualiti tinggi,” kata Amylea yang bertindak sebagai penerbit, dan mengakui proses rakaman bersama Tomok adalah antara pengalaman paling lancar sepanjang 18 tahun kerjayanya sebagai produser.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here