Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Shasha Hamid/Koleksi Syed Wafa

Di awal kemunculannya, Siti Haslinda Abdul Hamid, 70, atau mesra dengan panggilan Shasha pernah juga membintangi beberapa buah filem antaranya Qurban dan Budi dan Dosa mengikuti jejak langkah ibunya pelakon popular Mariani dan emak saudaranya biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Namun gaya pertuturannya yang dikatakan sengaja di buat slang dan mengada-ngada ketika berlakon membuatkan Shasha kecewa dan bersedih dengan kecaman tersebut hingga Shasha mengambil keputusan meninggalkan terus dunia lakonan.

P.RAMLEE dan Saloma bersama anak-anak dan anak saudara mereka.
Berdiri dari kiri: Sazali, Allahyarham Nasir P. Ramlee, Dian dan Armali.
Duduk dari kanan: Rozita Rohaizad dan Shasha.

“Sha mula berlakon filem Qurban dan selepas itu Budi dan Dosa masa umur 6 tahun. Masa kecil dulu, bila Sha cakap pelat orang boleh terima. Tapi bila dah besar, umur dah masuk 20-an…orang selalu tanya kau ni mengapa tak boleh cakap Melayu betul-betul?. Kau ni mengada-ngada ke?.. sebab dia lebih banyak cakap Inggeris. Tapi itulah diri Sha, Sha bukan buat-buat…nak buat macam mana.

“Waktu usia 21 tahun, pengarah Rosli Jalil ajak Sha berlakon sebuah drama RTM…Sha lupa pula tajuk drama tersebut. Selepas disiarkan di televisyen, Sha teruk kena ‘bantai’ dalam akhbar disebabkan slang percakapan Sha. Waktu itu, Sha rasa down sangat dan terus tak nak berlakon lagi. Waktu itu, Sha juga takut dan malu nak bercakap dengan orang.

Shasha sejak umurnya 6 tahun telah berlakon dalam filem “Budi dan Dosa” pada tahun 1963.

“Sha seronok berlakon, namun bila baca banyak sangat yang mengecam cara percakapan Sha membuatkan Sha sedih dan terus berhenti berlakon drama dan filem. Buat apa nak terus berlakon kalau orang asyik memperkatakan tentang percakapan Sha kerana itu memang cara semulajadi Sha bercakap dan bukannya Sha buat-buat atau mengada-ngada,” kata anak sulung daripada perkahwinan kedua Mariani bersama suaminya, HM Rohaizad atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Hamid Syed Muhammad Al- Sagoff.

Shasha dibesarkan neneknya sejak kecil bersama adik -beradiknya yang lain bersama emak saudaranya, Saloma selain Armali anak Saloma dan Dian P Ramlee.di Singapura. Disebabkan itu Shasha lebih rapat dengan Saloma berbanding ibunya sendiri.

Bersama ibu tercinta seniwati Mariani yang banyak memberi beliau menjadi seorang model.

Shasha menambah,”Emak begitu komited dengan kerjayanya dan setiap kali selepas bersalin kami semua akan dititipkan kepada nenek. Neneklah yang membesarkan kami semua. Dulu gaji mak berlakon bukannya besar sangat lebih kurang RM150 sebulan. Jadi nenek, Umi Kalsom Nahban dan datuklah yang membesarkan kami. Bukan itu saja, Sha juga hanya menamatkan pelajaran hingga darjah 6 kerana bayaran yuran yang mahal. Adik-beradik yang lain bapa Sha letak sebagai anak berbangsa Melayu, Sha pula dicatatkan berbangsa Arab kerana sememangnya bapa kami berasal dari Arab

“Oleh kerana Sha dianggap bangsa asing, jadi yuran persekolahan Sha mahal berbanding adik- beradik yang lain kerana mereka belajar secara percuma. Itu yang buat Sha nekad nak berhenti belajar kerana tak sanggup menyusahkan nenek. Entahlah zaman dahulu, mereka main daftar nama dan bangsa. Macam kami adik beradik ada macam-macam nama bapa kami…nama Sha berbin Abdul Hamid sedangkan nama sebenarnya, Syed Mohd. Hamid Syed Muhammad Al- Sagoff.”

SAAT bahagia Shasha Hamid bersanding di pelamin bersama suaminya, Allahyarham Jamaluddin.Turut hadir di majlis persandingannya, Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma yang berlangsungn di Singapura pada Mac 1973. Dua bulan selepas itu, P. Ramlee meninggal dunia.
“Bila Mama meninggal dunia pada 25 April 1983,
Wajah uniknya membuatkan Shasha sering dipanggil menjadi model peragaan.

Selepas berhenti belajar, Shasha membantu neneknya dengan bekerja sebagai penjual baju dan pada waktu malamnya pula menari dengan Saadiah Dancer.

Ketika usianya 18 tahun, Shasha berkahwin dengan seorang pegawai tentera dan mengikut suaminya berpindah ke Kuala Lumpur. Disebabkan suaminya yang sering berpindah –randah membuatkan Shasha memilih untuk tinggal bersama Saloma panggilan manjanya Mama dan P.Ramlee yang dipanggilnya Daddy.

“Sha memang rapat dengan Mama sebab dari kecil Sha dijaga Mama yang tinggal bersama nenek. Masa kecik Mama suka bawa kami berkelah serta mandi laut. Mama juga suka membawa Sha melihatnya membuat latihan menyanyi di kelab malam pada waktu siang …ialah malam budak kecil tak boleh masuk kelab.

Shasha ketika memperagakan koleksi baju untuk buku Puan Azah Aziz.

“Walaupun Sha dah besar dan berkahwin, namun Mama tetap anggap Sha macam budak kecil. Mama tidak pernah sesekali bercerita mengenai masalahnya dengan Daddy atau apa sahaja. Mama lebih senang bercerita dengan sahabat baiknya, Aunty Rock (lupa pula Sha nama betulnya) apa yang dia lalui dalam kehidupan. Bila Mama meninggal barulah Sha rapat dengan emak Sha (Mariani),” kata Shasha yang kini baru disahkan menghidap paru-paru berair sejak Oktober lalu.

Di Singapura selain berlakon, Shasha juga menganggotai kumpulan Saadiah Dancers dan penari kebudayaan untuk pusat pelancongan. Bila berpindah ke Kuala Lumpur Shasha mengambil peluang melebarkan sayapnya dalam bidang modelling pula akibat kecewa dengan bidang lakonan.

Gaya seorang model professional..Shasha Hamid.

“Emak (Mariani) yang cadangkan Sha belajar jadi model dengan gurunya yang pernah berlakon sewaktu di Shaw Brothers dan kini buka kelas modelling Mannequin Studio di Hilton Hotel. Bila dah seronok jadi model, terus Sha tinggalkan dunia tarian dan akhirnya Sha juga menjadi koreografer untuk setiap pertunjukkan fesyen.

“Hinggalah kini Sha masih minat dengan tugasan sebagai koreografer. Walaupun dah berusia seperti sekarang kalau ada yang mintak tolong Sha sedia membantu dengan pengalaman yang Sha ada. Masa jadi koreografer ini banyak juga negara yang Sha pergi kerana di bawa pihak TDC untuk bersama-sama mereka seperti ke Dubai, New Zealand, Australia, Kuwait dan lain-lain lagi,’’ kata Shasha yang sejak muda sering dijemput untuk memperagakan fesyen dan pelbagai koleksi pakaian untuk dimuatkan dalam majalah dan lain-lain penerbitan.

Shasha juga menjadi model untuk produk kecantikan.

Walaupun sudah terpaksa berdikari ketika usianya 13 tahun, namun Shasha bersyukur kerana pengalaman itu banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan dan cepat mematangkannya dalam menjalani hidup.

“Kalau semua perkara lalu tak jadi, mungkin Sasha bukan seperti sekarang atau mungkin Sha haya seorang insan yang bernama Haslinda atau seorang surirumah tangga sahaja,’’ kata Shasha sambil ketawa.

Gayanya yang tersendiri membuatkan Shasha popular sebagai model dan koreografer.

Selain Shasha, anak Mariani yang turut mengikut jejak langkah ibunya dalam bidang seni ialah Rozita Rohaizad dan Melissa Saila.

Kini Shasha bahagia melayari hari tuanya bersama anaknya Dino Lazidin, 50, dan tiga anak perempuannya, Sheemal, Shadida dan Rynnas serta tiga orang cucu.

Seniwati Mariani mempunyai 13 orang anak melalui tiga perkahwinannya. Bersama suami pertama, Darus, beliau mendapat dua orang anak iaitu Noraini dan Normala.

Shasha (kanan sekali) bersama adik beradiknya serta emak tercinta pelakon legenda, Mariani (duduk).

Perkahwinan keduanya dengan pelakon, penolong pengarah, penulis lirik dan penulis lakon layar, HM Rohaizad atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Hamid Syed Muhammad Al- Sagoff, pasangan ini dianugerahkan enam orang anak iaitu Sharifah Haslinda (Shasha), Sharifah Rozita, Syed Herwaini, pasangan kembar Syed Marhain dan Syed Nazran dan yang bongsu, Syed Hasmidan. Jodoh mereka tidak panjang apabila HM Rohaizad meninggal dunia kerana serangan jantung pada usia 35 tahun pada 17 Disember 1961.

Mariani bertemu jodoh dengan Mohamad Alias dan melalui perkahwinan ketiga ini mereka dikurniakan lima orang cahayamata iaitu Iskandar Mierza, Sharoneirza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melisa atau lebih dikenali Melissa Saila.

Wajah jelita Shasha dalam meniti usia 70 an.
Previous articleSet Lunch Restoran Rasa Rosz yang istimewa!
Next articleApa maksud berkemampuan mengerjakan Haji? (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here