Konsert solo peryama Darkkey.
Oleh : Syed Wafa
Pencetus muzik samba rock Tamil Malaysia, Darkkey Nagaraja, muncul dengan konsert solo pertamanya setelah mengejutkan industri filem Kolywood menerusi
lagu AK The Tiger bagi filem Good Bad Ugly, baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC), I Am Darkkey: King of Samba  Rock Concert itu dijadual berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada 2 Ogos akan datang.
Presiden MMPCC, T Manimaran, berkata fenomena Darkkey yang menghangatkan industri
perfileman India, ketika ini, melalui lagu runut bunyi ciptaan dan nyanyiannya itu
mencetuskan inspirasi terhadap kerjasama bersejarah ini.
Konsert itu, menurutnya, adalah sebahagian daripada usaha NGO yang bergiat sejak 2019  dan beribu pejabat di Melaka ini untuk mengumpul dana bagi melaksanakan program kebajikannya seperti membantu golongan miskin, anak yatim dan bagi tujuan pendidikan.
“Darkkey mendominasi arena muzik rock Tamil tempatan seawal era 90an. Setia pada
perjuangan seninya, dia melangkaui sempadan dan terbaru, mencipta kejutan dalam
industri perfileman Kollywood susulan kolaborasinya dalam filem Good Bad Ugly.
“Terinspirasi dengan perjuangan dan kejayaan Darkkey, tercetuslah idea untuk penganjuran I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert bagi mengutip dana untuk kerja-kerja kebajikan, selain memartabatkan pengkarya dan muzik Tamil tempatan,” katanya.
Konsert berdurasi dua jam itu diadakan dengan kerjasama Patahati Universe, selain
Panggung Bangsawan Melaka dan Tourism Melaka sebagai rakan strategik. Publisiti pula
dikendalikan Mewah Event Management dan iLasso Tickets, tiket rasmi.
Tiket akan dijual bermula 6 Jun ini pada harga RM69 (Puli Puli – Berdiri), manakala duduk,  RM79 (Akamage) dan RM89 (Adiva Adiva). Pembeli tiket duduk juga akan menerima, antaranya lanyard eksklusif dan poster yang ditandatangan. Pembelian boleh dibuat  menerusi ilassotickets.com
Optimis, Setiausahanya, S Partiben, melihat respons awal peminat yang meliputi pelbagai
bangsa menunjukkan seni bukan saja mampu menyatukan masyarakat, malah
mendedahkan NGO seperti MMPCC bagaimana untuk meneruskan inisiatif mereka.
“Cubaan pertama ini yang turut menampilkan bintang muda, Santesh dan Zubir Khan
mendorong kami untuk memberikan semaksimum mungkin. Konsert ini adalah salam
pengenalan MMPCC yang akan meninggalkan memori terindah buat peminat,” katanya.
Santesh yang mencipta lagu solo pertamanya, Endrum En Kadhaley pada usia 15 tahun
menembusi pasaran arus perdana pada 2018 menerusi hits Melayunya, Amalina.
Manakala Zubir yang berdarah Melayu-Pakistan menggegarkan industri dengan lagu seperti Yennode Macha yang meraih jutaan tontonan di media sosial.
Sementara itu, Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka, Datin Sukhirah Ibrahim,
melihat penganjuran I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert dapat menyokong usaha untuk merakyatkan seni persembahan di Melaka.
“Uniknya Panggung Bangsawan Melaka ini, asalnya panggung wayang lama Cathay, terletak di zon buffer UNESCO. Ia direnovasi oleh Perbadanan Melaka atau MCorp pada 2024 untuk dibangunkan sebagai hab seni bagi persembahan live di Melaka.
“Tak hanya teater dan bangsawan, jadual tahun 2025 turut menyaksikan konsert seunik
Darkkey ini yang dikemukakan Patahati Universe dengan beberapa perancangan lain yang bakal membuka era baru dalam penganjuran acara di Melaka,” katanya yang mengakui fasiliti terbaru itu turut meraih minat produser, termasuk daripada Singapura dan Brunei.
Bagi Patahati Universe, Pengarah Projek, Cassandra, berkata pihaknya menghargai
kepercayaan diberikan untuk menghidupkan Panggung Bangsawan Melaka sebagai hab seni, sekali gus menjadikan seni persembahan live sebagai tarikan pelancongan baru Melaka.
“I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert hanyalah satu permulaan kepada perancangan  bagi menampilkan lebih ramai nama besar industri muzik. Ia diyakini dapat menonjolkan Melaka sebagai alternatif kepada Kuala Lumpur, bukan saja kerana nilai estetika yang dimilikinya, malah harga tiket, misalnya yang pastinya jauh lebih kompetitif,” katanya.
Justeru, kata T Manimaran, I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert tidak harus
dilepaskan kerana ini adalah pertemuan bersejarah tiga generasi pengkarya – Darkkey,
Santesh dan Zubir Khan, sambil menyokong usaha-usaha yang memanfaatkan komuniti.
Butiran tiket RM69 (Puli Puli – Berdiri), RM79 (Akamage – Duduk) dan RM89 (Adiva Adiva – Duduk).
Tiket pra-jualan dibuka pada 30 Mei, penjualan biasa bermula 6 Jun ini. Layari 
ilassotickets.com untuk pembelian.
Previous articleCara-cara menghilangkan rasa sakit mata
Next articleNadeera beruntung dapat sokongan penyanyi senior

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here