Photo by Izuddin Helmi Adnan on Unsplash

Oleh: Nury Kadir

Musim haji datang lagi. Entahlah, bilakah tibanya giliran kita akan dijemput sebagai tetamu Allah. Menanti giliran bukan sesuatu yang indah kerana ia memakan masa puluhan tahun. Bukan setakat setahun dua, tetapi memakan masa 30-40 tahun baru tiba giliran.

Amboi, lamanya menunggu! Kalau diizinkan Allah, panjang umur dan sihat tubuh badan dapatlah pergi mengerjakan ibadah Haji dengan Tabung Haji. Jika tidak, ia diluar kemampuan kita.

Maka tidak hairanlah jika ada yang menggunakan pelbagai saluran untuk membolehkan hajat menunaikan haji tercapai. Ramai yang berusaha membuat rayuan setiap tahun agar diberi peluang dapat menunaikan haji. Boleh juga terus ke agen pelancongan yang bertauliah mengendalikan jemaah haji cuma kosnya mahal sikit.

Semua usaha itu tidak salah walaupun dikatakan memotong giliran. Namun adakah salah memotong giliran orang lain untuk menunaikan haji dengan mengupah ‘orang dalam’ untuk mempercepatkan giliran. Ternyata dengan cara itu, giliran haji yang sepatutnya 20 tahun lagi tidak perlu ditunggu. Bolehkah cara itu dilakukan seseorang demi mencapai impian dan tujuannya?

Cara itu salah, haram dan berdosa kerana menzalimi orang lain yang telah mempunyai giliran haji masing-masing. Tambahan pula, perbuatan ini jelas menyalahi objektif pelaksanaan ibadah haji yang bertujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT, mengagungkan kebesaran-Nya, menyucikan diri daripada kekotoran dosa dan maksiat.

Pun begitu, membuat permohonan dengan cara yang terhormat seperti memohon budi bicara dan mengemukakan rayuan kepada pihak berautoriti adalah diharuskan. Itu adalah jawapan yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Photo by مصوّر من أرض الحرمين 🇸🇦 on Unsplash

Ibadat haji berbeza dengan ibadat yang lain kerana ada pertimbangan kemampuan sebagai salah satu syarat wajib. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97, Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Seperti yang dicatatkan di dalam www.muftiwp.gov.my. Berdasarkan dalil itu, terdapat perbincangan di kalangan fuqaha mengenai hukum wajib menunaikan ibadah haji sama ada wajib yang bersifat segera ( الفور ) ataupun wajib yang boleh ditangguhkan seketika ( التراخي ).

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa hukum menunaikan haji dengan kadar yang segera adalah wajib kerana kewajipannya hanyalah sekali sahaja dalam hidup. Manakala sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa boleh menangguhkan seketika pelaksanaan ibadah haji kerana salah satu daripada syarat wajib haji ialah memiliki lebihan harta untuk menampung perbelanjaan pergi dan pulang.

Menurut pandangan fuqaha dalam mazhab Syafi’i seperti al-Rafi’i, menegaskan bahawa kewajipan haji bersifat tertangguh iaitu boleh dilakukan pada waktu yang lain berdasarkan waktu pensyariatan ibadah tersebut yang hanya bermula selepas daripada tahun ke-lima Hijrah.

Walaupun seseorang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji pada tahun berkenaan, namun ibadah haji tetap boleh dilaksanakan pada tahun-tahun yang lain. Sejajar dengan itu, pelaksanaan haji boleh ditangguhkan terlebih dahulu sehinggalah seorang memenuhi syarat kemampuan.

# Ikuti sambungan artikel bahagian kedua akan datang mengenai maksud memenuhi syarat berkemampuan#

Previous articleAl-Fatihah
Next articleBUAT BARIATRIK MELALUI INSURAN?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here