Oleh: Khadijah Ibrahim
FILEM “Balas Balik” arahan Feroz Kader telah menemui penonton di pawagam sejak 29 Mei baru-baru ini. Sudah pergi menonton? Kalau belum pergilah tengok lakonan Shukri Yahaya sebagai Detektif Zul tu.
Kalau dalam filem “Blood Brothers: Bara Naga” dia melakonkan watak antagonis tapi untuk “Balas Balik” berubah 100 peratus.
Bagi Shukri sendiri, dia melihat watak Detektif Zul seperti dalam cerita Sherlock Holmes. Ujarnya, filem yang ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim itu bukan naskhah aksi yang padat pertarungan hidup mati atau sensasi cinta yang membakar emosi tetapi genre Balas Balik itu sendiri satu cabaran menguji kemampuannya untuk memuaskan hati penonton.

“Kalau sebelum ini orang benci atau tengok saya sebagai lelaki redflag, cabaran utama, saya kena jadi bijak ataupun buat-buat bijak.
Orang kena percaya Detektif Zul itu saya dan saya ialah Detektif Zul yang ada sejenis deria keenam mengesan kebenaran dan jawapan dalam siasatannya.
“Balas Balik ada benda yang orang tak pernah tengok saya buat. Kalau mati, kena tahu kenapa dan bagaimana. Dan cerita ni bukan tentang saya sahaja, banyak pelakon lain dengan masing-masing ada motif. Saya kena siasat semua,” katanya.
Bermula sebagai pelakon tambahan kemudian terkenal dengan naskhah-naskhah tangkap leleh, lelaki budiman paling mencairkan hati, kejam, panas baran sehinggalah gengster yang darahnya paling dikehendaki seperti dalam “Blood Brothers: Bara Naga”, semua itu menjenamakan Shukri sebagai aktor versatil.
Namun di hatinya tetap ada rasa gundah kerana sebelum ini wajahnya sering dilihat di layar kaca berbanding layar lebar. Shukri berharap penampilannya di filem “Balas Balik” mampu mengikis persepsi siapa muka televisyen dan siapa pula muka filem.

“Tidak dinafikan, sebelum ini rasanya ada skeptikal itu, untuk saya, saya memang banyak berlakon drama sebab nak tunggu tawaran filem memang tiada.
“Cuma untuk pelakon drama macam saya dan lain-lain, kami juga berharap untuk dapat lebih banyak kepercayaan main filem, untuk pergi lebih jauh dan bawa impak lebih besar. Untuk penerbit dan pengarah lain, tolonglah beri peluang pelakon drama untuk ke filem juga, kalau kena cara, kami boleh buat.
“Kalau drama, kita semacam sudah ada ‘template’ tetapi filem lain, itu juga sebab kenapa saya berani sahut cabaran buat “Balas Balik”. Cerita dia lain, tak ada cinta-cinta konflik gaduh berebut wanita, masalah bisnes atau kalau mati, mati begitu saja. Bukan macam tu.
“Balas Balik ada benda yang orang tak pernah tengok saya buat. Kalau mati, kena tahu kenapa dan bagaimana. Dan cerita ni bukan tentang saya sahaja, banyak pelakon lain dengan masing-masing ada motif. saya kena siasat semua’” katanya.
Tatkala ditanya bekerja bawah arahan Feroz Kader, Shukri akui peluang tersebut satu keberuntungan buat dirinya. Banyak kali berkolaborasi malah penglibatan awal dalam lakonan Shukri di layar kaca juga dari telunjuk Feroz.
“Saya rasa Feroz berani buat kelainan dan harap hasilnya mampu beri kepuasan kepada penonton. Drama arahan dia sebelum ini pun bagus ratingnya, harap filem ini ada impak,” jelas Shukri.

Selain Shukri, filem terbitan Shaibha Vision itu turut dibarisi pelakon seperti Tony Eusoff, Marissa Yasmin, Adam Lee, Isyariana, Zarul Umbrella, Meor Mohd dan Razman Mahayuddin.
Feroz Kader percaya filem harus ada cerita yang kuat
Sementara itu, Feroz Kader yang lebih berpengalaman sebagai pengarah drama berbanding filem berkata setiap filem harus berpakskan cerita yang ada makna warna dan memberi rasa kepada penonton.
Itulah yang cuba digarap menerusi “Balas Balik” yang merupakan naskhah filem ketiganya selepas mencuri kelainan menerusi “Seratus” yang ditayangkan 2022.
Daripada “Seratus” sebuah karya dengan plot penuh bersilang emosi resah, “Balas Balik” hadir dengan sebuah penyiasatan bergaya. Seorang detektif khas, Detektif Zul (Shukri Yahaya) ditugaskan menyelesaikan ‘puzzle’ penyiasatan kes kematian mengejut seorang CEO.
Bukan filem kepolisan yang sering ada di pasaran, Sheriff atau Polis Evo, Balas Balik muncul dengan genre penyiasatan jenayah, membawa bersama nilai suspens dan dramatik sebagai taruhan.
“Bila filem genre begini, story line (cerita) sangat penting. Kami fokus dalam penghasilan skrip. Tiga bulan juga saya ambil masa, berbincang dan tulis.

‘Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, Balas Balik memang asalnya filem bukan drama,” kata Feroz yang pernah menghasilkan “Mr. Perfect 10”.
Untuk “Balas Balik”, banyak unsur digabungkan. Masih ada elemen komersial, bukan dark movie atau art house filem.
“Penonton boleh hubung kait konsep sebegini dengan filem-filem penyiasatan Hollywood. Kami kena pastikan setiap babak ada motif supaya penonton kekal dalam momentum sehingga bertemu jawapan di hujung cerita.
“Nak kekalkan adrenalin, rasa ingin tahu sepanjang cerita dan babak-babak itu sangat penting. The hidden point perlu kemas. Kalau cerita hantu kena ada jumpscare, filem ini terletak kepada nilai suspens. Itu yang jadi hook (kata kunci) yang pegang, gam perhatian penonton sampai habis. Penonton kena seronok.
“Seperkara lagi, Balas Balik tidak hanya fokus kepada watak utama, Detektif Zul. Ada banyak watak lain yang turut diberi penekanan, semua ada motif dan karakter mereka harus dikeluarkan,” katanya yang tetap menerapkan mesej dalam berkarya.
Diterbitkan Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd, Balas Balik akan melilau mencari jawapan apabila seorang CEO sebuah syarikat telekomunikasi, Datuk Roslan (Tony Eusoff) ditemui mati di pejabatnya sendiri.
Mulanya diklasifikasikan kes bunuh diri, Detektif Zul yang mengetuai siasatan menemui petunjuk yang mendorongnya menyiasat semua kakitangan syarikat tersebut termasuk ahli keluarga yang mempunyai motif untuk membunuh pegawai tertinggi itu. Satu demi satu jawapan terungkai sehingga akhirnya menemui kebenaran yang mengejutkan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.