Dr. Nor Azimi Yunus merasmikan penjenamaan semula PIR.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEMPENA sambutan ulang tahun ke-25, Pantai Integrated Rehab, telah melancarkan identiti jenama baharu dan kini dikenali sebagai
Premier Integrated Rehab (PIR).

Bukan setakat menukar nama, logo baharu juga diperkenalkan agar ia nampak lebih neutral (tidak berpihak ke mana-mana) dan memberikan usability (kebolehgunaan) kepada lebih ramai pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan rehabilitasi.

Penolong Naib Presiden Premier Integrated Rehab Sdn. Bhd., Halizahanim Hassan berkata, dalam mana-mana organisasi perlu melalui satu proses pembaharuan dan penjanamaan baharu.

Hareeff Muhammed dan Halizahanim Hassan sewaktu sidang media menjelaskan peranan dan misi Premier Integrated Rehab kepada orang ramai.

“Logo ini ditukar selepas 25 tahun. Saya rasa logo baharu ini lebih neutral, sebab kalau kita tengok logo lama adalah Pantai Intergrated Rehab. Apabila orang nampak Pantai Intergrated Rehab, orang akan terus kaitkan dengan Pantai Hospital saja.

“Kadang-kadang mereka ada satu kemusykilan, macam kalau mereka bukan pergi jumpa doktor di Hospital Pantai, adakah mereka tak boleh dapatkan perkhidmatan rehab tersebut? Bagi mengelak kemusykilan tersebut, nama baharu diperkenalkan.

“Dengan penggunan nama Premier Integrated Rehab (PIR), sesiapa saja boleh dapatkan perkhidmatan fisioterapi atau akupuntur terapi dan speech terapi di mana sahaja premis kami beroperasi dan bukan sahaja di hospital,” jelasnya.

Hareeff Muhammed berkata perkhidmatan yang diberikan oleh PIR adalah yang terbaik dan siapa saja boleh menjalani fisioterapi di situ.

Penjenamaan semula tersebut dilancarkan secara rasmi pada acara ‘PIR Unveiled – The Next Chapter’ oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Indera Dr. Nor Azimi Yunus di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Premier Integrated Rehab untuk memberikan perkhidmatan pemulihan yang berlandaskan garis panduan klinikal, berfokuskan kepada pencapaian rawatan, dan berpusatkan keperluan pesakit pada pelbagai peringkat pemulihan.

Menerusi identiti baharu ini menandakan evolusi Premier Integrated Rehab dalam IHH Healthcare Malaysia, penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka dengan rangkaian terintegrasi 18 hospital, termasuk Gleneagles Hospitals, Island Hospital, Pantai Hospitals, Prince Court Medical Centre, dan Timberland Medical Centre, disokong oleh perkhidmatan tambahan seperti Premier Integrated Labs dan rangkaian klinik penjagaan primer di bawah Twin Towers Medical Centre.

Sejak penubuhannya pada 2000 hingga kini, Premier Integrated Rehab telah membina rangkaian lebih daripada 20 pusat di seluruh negara, menawarkan terapi fisioterapi, terapi carakerja, dan terapi pertuturan yang disampaikan oleh Profesional Kesihatan Bersekutu yang berdaftar.

Halizahanim Hassan berkata penggunaan logo baharu tampak lebih neutral.

Setiap pengamal menjalani proses kelayakan, penilaian kompetensi dan pengiktirafan klinikal untuk memastikan perawatan yang selamat dan berkesan selaras dengan rangka kerja tadbir urus klinikal IHH.

Sementara itu, Ketua Ambulatori, Kesihatan Bersekutu & Perkhidmatan Sokongan, IHH Healthcare Malaysia, Hareeff Muhammed turut menjelaskan, penukaran nama dan logo bagi menggubah persepsi orang ramai terhadap PIR.

Ujarnya, walaupun penjenamaan baharu Premier Intergrated Rehab kedengaran seperti ‘mahal’ pada orang ramai tapi perkataan ‘premier’ yang ditekankan di sini merujuk kepada yang terbaik.

“Waktu nak pilih nama pun saya tanya dua tiga kali, cuma sekarang ini kita nak tukar mindset orang ramai bahawa premier bukan bermakna mahal tapi merujuk kepada yang terbaik. Kita biasalah, apabila fikir terbaik, mesti seiring dengan kos yang mahal.

“Sekarang kita nak tukar pemikiran orang ramai bahawa untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik tak perlu mahal yang penting perkhidmatan yang diberikan adalah premier iaitu yang terbaik.

Antara yang hadir memeriahkan sambutan ulang tahun Premier Integrated Rehab di ibu kota, baru-baru ini.

“Begitu juga dengan logo ia menggambarkan empat orang berpegangan tangan mengelilingi pesakit yang berada di tengah. Orang sekeliling itu yang merawat pesakit berkenaan. Itulah maksud gambaran logo tersebut.

“Selama 25 tahun yang lalu, kami telah membina perkhidmatan yang menyokong masyarakat dan orang ramai melalui pelbagai fasa pemulihan. Penjenamaan semula ini menandakan niat kami untuk terus berkembang bersama landskap penjagaan kesihatan,” jelasnya tentang peranan PIR.

Tambahnya, pendekatan Premier Integrated Rehab terhadap perawatan disusun mengikut model pemulihan berasaskan nilai. Ini merangkumi amalan klinikal perubatan berasaskan bukti, pengukuran pencapaian hasil perawatan, penggunaan sumber yang cekap dan pembuatan keputusan bersama dengan pesakit.

“Model ini menyokong arah tuju Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai transformasi penjagaan kesihatan, yang menekankan kualiti, kebolehcapaian dan hasil jangka panjang.

“Sebagai sebahagian daripada strategi inovasinya, Premier Integrated Rehab telah memperkenalkan TheraGo, perkhidmatan pemulihan mudah alih yang direka untuk membawa penjagaan dan perawatan terus ke tempat kerja.

“Melalui TheraGo, organisasi dapat menawarkan akses fisioterapi, penilaian ergonomik dan sokongan penjagaan pencegahan di tempat kerja, mengintegrasikan pemulihan dan kesejahteraan dalam aliran kehidupan kerja harian,” tambahnya lagi.

Penjenamaan semula nama Pantai Integrated Rehab kepada Premier Integrated Rehab sempena sambutan ulang tahun ke-25 .

Selain penjagaan klinikal, Premier Integrated Rehab memperluaskan jangkauannya melalui kerjasama komuniti, kerjasama universiti awam dan program outreach, terutamanya di kawasan yang kurang mendapat perhatian, untuk menyokong matlamat nasional yang lebih luas bagi penjagaan desentralisasi dan pencegahan yang meningkatkan kebolehcapaian.

Memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan pemulihan semakin meningkat, Premier Integrated Rehab mengundang kerjasama daripada pengamal klinikal, syarikat insurans, syarikat korporat dan pembuat dasar untuk memperkukuhkan ekosistem rawatan pemulihan.

“Kami percaya pemulihan boleh memainkan peranan yang lebih kuat dalam hasil Kesihatan. Dengan bekerjasama, kita dapat meningkatkan akses, konsistensi dan kesinambungan dalam perawatan pemulihan,” kata Hareeff.

Premier Integrated Rehab tetap dipandu oleh nilai-nilai bersama IHH Healthcare Malaysia, dengan fokus yang kuat terhadap keselamatan pesakit, penjagaan bertanggungjawab dan membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih terintegrasi dan mampan untuk masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here