Photo by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Pembelian di atas talian amat bergantung pada rating (penilaian) dan review (ulasan). Tanpa kedua-dua perkara itu, mana mungkin pembeli dapat mengetahui sama ada barang tersebut bermutu, berfungsi dengan baik, tulen atau tiruan. Penilaian dan ulasan adalah rujukan utama pembeli dalam memilih barang kerana dengan melihat gambar sahaja tidak akan membantu sebenarnya. Gambar sebenarnya hanya indah khabar dari rupa.

Penjual boleh sahaja menipu dengan gambar yang cantik dan keterangan mengenai kehebatan barang yang dijual. Berlainan jika kita membeli di kedai fizikal, barang yang hendak dibeli boleh disentuh, dibelek-belek dan dicuba terlebih dahulu, setelah berpuashati barulah dibeli. Namun sebaliknya, jika melakukan pembelian di atas talian.

Semuanya terpaksa bergantung pada kepada gambar dan keterangan penjual. Dan, satu lagi yang paling penting adalah penilaian dan ulasan pembeli. Setiap penilaian diberi satu hingga lima bintang, pembeli akan tengok lima bintang sebagai paling baik. Kemudian ulasan pembeli lain pula dibaca untuk memastikan bahawa barang yang hendak dibeli itu berfungsi dengan baik serta berkualiti.

Hampir 90 peratus pembeli atas talian membuat keputusan membeli kerana penilaian dan ulasan yang dibuat oleh pembeli sebelumnya. Malangnya, tidak semua penilaian dan ulasan yang diberikan oleh pembeli lain tepat. Ada yang membuat penilaian dan ulasan atas dasar mengejar ganjaran coin seperti Shopee Coins yang ditawarkan oleh Shopee.
Sebenarnya ganjaran coin yang diberikan tidaklah banyak mana, paling rendah satu coin yang bersamaan satu sen. Setiap barang yang diberi penilaian dan ulasan akan diberi ganjaran 5-15 coin jika memenuhi syarat yang ditetapkan. Disebabkan desakkan untuk mengumpul ganjaran coin maka ada yang membuat penilaian dan ulasan sedangkan barang yang dibeli belum digunakan lagi. Apabila orang lain menipu dalam membuat penilaian dan ulasan maka yang tertipu adalah pembeli seterusnya.

Bolehkah menipu dalam membuat penilian dan ulasan demi mengejar ganjaran?

Ini adalah jawapan yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my). Sebelum menjawab persoalan di atas, dijelaskan terlebih dahulu mengenai kedudukan Shopee Coins dari sudut pandangan Islam. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Shopee Coins dikira sebagai harta kerana mempunyai nilai dan boleh ditebus kepada baucar atau digunakan untuk membayar barang yang dibeli di Shopee.

Secara asasnya, hukum pemberian Shopee Coins oleh pihak Shopee kepada pengguna adalah harus berdasarkan akad ju’alah. Ju’alah ialah satu kontrak di mana satu pihak berjanji untuk memberi ganjaran sebagai balasan bagi perbuatan tertentu yang dilakukan oleh pihak lain yang diketahui atau tidak diketahui.

Dalam hal ini, pihak Shopee menjanjikan untuk memberi sejumlah Shopee Coins kepada sesiapa yang memberi penilaian (rating) dan ulasan (review) serta menyertakan gambar dan video barang yang dibelinya dalam tempoh yang ditetapkan.

Pun begitu, timbul isu apabila terdapat sebahagian pembeli terus memberi penilaian dan ulasan selepas barang diterima untuk mendapatkan Shopee Coins walaupun belum menggunakan barang tersebut. Mereka juga kadang-kadang meletakkan gambar yang tidak berkaitan untuk memenuhi syarat yang diletakkan oleh Shopee. Isu ini boleh dilihat daripada dua sudut iaitu hukum memberi penilaian palsu dan hukum menerima ganjaran daripada penilaian palsu.

Memberi penilaian dan ulasan produk yang dibeli tanpa menggunakan dan memeriksa kualiti sebenarnya boleh memperdayakan pembeli-pembeli yang lain. Penilaian dan ulasan yang baik tanpa mengetahui hakikat sebenar produk tersebut boleh menyebabkan pembeli lain menyakini kualiti produk tersebut yang mungkin tidak bertepatan dengan hakikat sebenar.

Justeru, perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang diharamkan berdasarkan firman Allah SWT; Maksudnya: “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.” (Surah al-Hajj: 30)

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda; Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami orang yang berdusta.” (Riwayat Abu Daud)
Syeikh Muhammad Shamsul Haq al-‘Azim Abadi mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa ia merupakan dalil pengharaman menipu yang merupakan ijmak ulama.

Berdasarkan penjelasan di atas, Shopee Coins yang diterima oleh pembeli atas penilaian dan ulasan palsu tanpa menggunakan dan memeriksa kualiti produk yang dibeli merupakan ganjaran daripada perbuatan yang haram. Oleh itu, ia haram untuk digunakan dan hendaklah dibiarkan sehingga luput.

Image by Freepik

Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan (Jabatan Fatwa Jordan) juga menyatakan perkara yang sama iaitu diharuskan untuk menerima ganjaran wang atau diskaun yang diberikan oleh laman web ketika membeli atau menilai produk dengan syarat mengelakkan sebarang penipuan, penyelewengan, atau pemalsuan dalam penilaian produk dan memastikan penilaian tersebut benar dan jujur.

Yang penting, jujurlah dalam apa sahaja urusan kerana ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW. Maksudnya: “Hendaklah kalian sentiasa berlaku jujur kerana kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa seseorang ke syurga. Apabila seorang selalu berlaku jujur dan melazimi kejujuran, maka dia akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Jauhilah kalian daripada berdusta kerana dusta itu membawa seseorang kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa seseorang ke Neraka. Apabila seseorang itu sentiasa berdusta dan melazimi kedustaan, maka dia akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (pembohong).” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis yang lain Abu Hurairah r.ah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: Siapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami. (umat Islam). (HR Muslim)

Penipuan dalam jual beli atas talian boleh juga berlaku daripada penjual yang dengan sengaja membeli barang sendiri lalu membuat penilaian dan ulasan yang baik-baik untuk menarik pembeli. Cara pemasaran seperti itu juga dianggap penipuan. Fuqaha’ menyebut perbuatan menipu sebegini sebagai al-tadlis. Antara persamaan yang disifatkan pada cara penipuan tersebut adalah wujudnya unsur perancangan daripada penjual sendiri untuk menipu pelanggan dan mencipta persepsi bahawa barang dagangannya itu bagus, berkualiti dan sebagainya. (www.muftiwp.gov.my.)

Seperti yang diulas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, mengambil pendapat Al-Jamal menyatakan bahawa al-Ghisy adalah al-Tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barangan dan menghiasinya supaya pelanggan tertarik dengan barang dagangannya.
Maksudnya, al-Ghisy adalah penipuan yang berlaku pada barang jualan seperti mengerintingkan rambut hamba perempuan dan memerahkan mukanya (tujuan untuk mencantikkan dan menyembunyikan aib).

Manakala Imam Nawawi dalam al-Majmu’ mendefinisikan al-tadlis adalah perbuatan menyembunyikan aib barang dagangan daripada pengetahuan pembeli. Ini bermakna penjual tahu tentang kecacatan tersebut, tetapi dia menyembunyikannya supaya barang itu terjual.

Oleh kerana itu, dapatlah dilihat bahawa perbuatan membeli barang sendiri dan membuat review palsu sama seperti menipu dan dalam masa yang sama penjual juga menyembunyikan kekurangan atau kecacatan pada barang tersebut. Maka ianya adalah sama seperti perbuatan al-ghisy yang dilarang dan ditegah.

Ini selari dengan firman Allah SWT yang melarang orang beriman untuk makan harta orang lain dengan cara yang batil kecuali dengan berlakunya transaksi perniagaan di mana pembeli dan penjual saling meredai. Perbuatan menipu tersebut akan menyebabkan pembeli merasa tertipu kerana membeli barang tidak sama seperti jangkaan atau kualiti yang dijanjikan.

Allah SWT berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. (Surah an-Nisa’:29)

Imam Syafie berkata di dalam al-Umm, hukum asal bagi jual beli adalah harus selagi mana jual beli itu berlandaskan apa yang dibenarkan oleh syarak. Namun, sekiranya terdapat perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW maka jual beli itu akan menjadi haram.

Justeru, hukum keharusan jual beli boleh bertukar menjadi haram kerana wujudnya unsur-unsur yang dilarang atau diharamkan. Bagi konteks perbincangan ini, wujud unsur penipuan yang dirancang oleh penjual untuk memperdayakan bakal pelanggan dan inilah yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang dinyatakan di atas.

Rasulullah SAW bersabda, Maksudnya: Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, orang-orang yang benar dan para syahid. (HR al-Tirmizi)

Semoga kita mendapat manfaat dan tidak melakukan perkara yang nampak kecil tetapi besar kesannya kepada kehidupan sendiri dan orang di sekeliling kita. Yang penting kita jaga hak Allah nescaya Allah akan jaga kita sebaiknya. Apa yang Allah beri itulah terbaik dan terindah untuk kita.

Previous articleWow!…Buku “100 PESAN TUN : MEMBINA KELUARGA DAN BANGSA” mendapat sambutan!
Next articlePemenang Mr Nusantara dapat wang tunai USD 80,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here