Kumpulan Dukes mahu mencuba nasib dalam aliran muzik arus perdana pula.

Oleh: Khadijah Ibrahim

DI kalangan penggemar muzik Indie Rock, nama Dukes sudah kedengaran biasa bagi mereka berbanding peminat muzik arus perdana. Enggan bertapak di platform yang sama, akhirnya Dukes yang dianggotai oleh Ziyyad (vokalis), Rayyan (gitaris), Jimbo (gitaris), Umar (bassist), dan Cheng (dram), tampil dengan single berjudul “Lagu Tiga”.

“Lagu Tiga” ciptaan sepenuhnya oleh Dukes dengan lirik hasil kolaborasi Ziyyad Imran dan Hazim Osman merupakan single pertama daripada album terbaharu mereka yang dijangka akan dilancarkan tahun ini.

Secara tak langsung lagu ini memberi gambaran awal terhadap warna muzik dan naratif yang bakal ditampilkan dalam album tersebut.

Di kalangan penggemar muzik indie rock nama Dukes sudah dikenali.

“Lagu Tiga” merupakan sebuah karya yang menyentuh emosi, menampilkan susunan muzik yang minimalis namun sarat makna. Lagu ini hadir sebagai simbol harapan dan kebangkitan, menyampaikan mesej yang kuat dan menyentuh jiwa pendengar.

Menurut Ziyyad, tercetusnya idea di sebalik penghasilan “Lagu Tiga” berlaku sewaktu mereka sedang jamming.

“Idea untuk lagu ini hadir secara spontan ketika sesi jamming santai, tanpa sebarang tekanan atau perancangan. Segalanya datang dengan begitu semula jadi daripada melodi, vibe, hinggalah emosi yang terbit pada waktu itu.

“Ia lahir daripada momen yang sangat jujur dan tulen antara kami dan mungkin itulah yang menjadikan “Lagu Tiga” begitu istimewa serta dekat di hati kami,” akuinya.

“Lagu Tiga” dendangan Dukes merupakan single pertama yang dipetik daripada album baharu mereka.

Tambah Ziyyad, penulisan lirik “Lagu Tiga” yang ditulisnya bersama Hazim disempurnakan dalam tempoh yang singkat, hasil ilham spontan yang tercetus semasa sesi jamming juga.

“Selaku penulis lirik tidak banyak yang diubah dari segi baik-baik liriknya sebab kami ingin mengekalkan mesej yang lahir secara jujur daripada rasa dan pengalaman sebenar yang dialami oleh ahli-ahli band.

“Keaslian inilah yang memberikan lagu ini kekuatan emosi dan nilai sentimental yang mendalam. Antara cabaran utama dalam penghasilan “Lagu Tiga” adalah mencari keseimbangan antara muzik dan lirik agar kedua-duanya saling melengkapi dan dapat menyentuh hati pendengar.

“Bagi anggota Dukes, lagu ini bersifat sangat peribadi, maka ia menuntut penyampaian yang jujur dan tulus. Justeru, ekspresi muzik dan kekuatan lirik perlu seiring agar emosi yang ingin disampaikan benar-benar sampai dan dirasai,” jelas Ziyyad lagi.

“Lagu Tiga” dendangan Dukes bersifat peribadi kepada anggota kumpulan tersebut.

Tambah Hazim pula, mereka berharap agar lagu ini dapat menjadi sumber inspirasi dan kekuatan bagi mana-mana insan yang pernah merasa hilang arah.

“Lagu ini mengingatkan kita bahawa kegagalan dan kejatuhan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup, namun yang lebih penting adalah bagaimana kita memilih untuk bangkit semula.

“Jika saat itu belum tiba, tidak mengapa kerana jalan untuk bangkit akan tetap ada, menanti kita bila waktu yang tepat datang. “Lagu Tiga” bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga luahan perasaan yang menjadi simbol harapan dan kebangkitan, bukan sahaja untuk para pendengar, tetapi juga bagi Dukes sebagai sebuah band, mengukuhkan perjalanan kami dalam industri muzik,” ujarnya.

“Lagu Tiga” boleh didengari di Spotify atau melalui pautan ini: https://open.spotify.com/track/6ViVTewgOgggJVvbcj6piB?si=x0Is_-HsT3ahp-Izx07DYw

Previous articleNadeera, Hael Husaini mahu lebih dekat dengan peminat
Next articleSet Lunch Restoran Rasa Rosz dapat sambutan luarbiasa!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here